Cadang bangunkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan ketiga di Kedah

Azman Nasrudin
Azman Nasrudin
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri tiada halangan sekiranya terdapat tanah yang sesuai untuk diusahakan sebagai Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang ketiga di negeri ini.

Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India, Azman Nasrudin berkata, buat masa ini TKPM di Gajah Mati, Pokok Sena masih diteruskan walaupun Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) Negeri Kedah tahun lepas mendakwa projek itu gagal.

Menurutnya, TKPM di Gajah Mati berkeluasan 59.7 hektar itu disertai 17 peserta membabitkan tanaman jagung, pisang, betik, nenas dan tanaman fertigasi.

“Kita bersetuju supaya Jabatan Pertanian meneruskan projek itu di Gajah Mati dengan keluasan 40.27 hektar. Hasil juga meningkat sejak 2019 hingga kini berbanding sebelum itu,” katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Azman berkata, kerajaan negeri turut melakukan memilih peserta yang layak dan kini sudah beroperasi sepenuhnya.

“Ketika awal dulu, memang ada berlaku kekosongan tanah yang tidak diusahakan, kita pantau perkembangan projek dan berlaku peningkatan hasil,” katanya.

Menurutnya, sebuah lagi TKPM dibangunkan di Bukit Perak, Pendang dengan keluasan 48.5 hektar.

“Kedah mempunyai banyak kawasan tanah terbiar yang dimiliki individu. Antara yang dicadangkan ialah mengenal pasti kawasan ini untuk dibangunkan oleh pengusaha atau golongan muda yang memerlukan tanah untuk industri pertanian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Azman berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Pertanian dan Pejabat Tanah dan Daerah mengadakan kolaboratif untuk mengenal pasti pemilik tanah terbiar bagi projek pembangunan tanah terbiar.

“Kita ada data keluasan tanah setiap daerah namun maklumat berkaitan tuan tanah tidak lengkap. Kita akan usahakan supaya pihak berminat dapat menjalin kerjasama ini,” katanya.

Menurutnya, projek TKPM dibiayai oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Azman berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Salim Mahmood (Pas-Bukit Lada) dan Teh Swee Leong (DAP-Kota Darul Aman) berhubung projek TKPM di Kedah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!