Wanita lemas mandi di air terjun
SEGAMAT - Kegembiraan tujuh sahabat mandi di air terjun Tak Pekoi, Bekok, Labis dekat sini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas.
Dalam kejadian pada jam 11.33 pagi, mangsa, Nabilah Aisyah Sallehodin, 22, ditemui orang awam di kawasan berkenaan.
Mangsa bersama-sama enam rakannya tiba di kawasan rekreasi berkenaan pada jam 8.30 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Penolong Pegawai Bomba Mohd Farizan Mokhtar berkata, sembilan anggota dikejarkan ke tempat kejadian dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT).
"Dalam perjalanan, jentera bomba berselisih dengan kenderaan awam yang dalam perjalanan membawa mangsa ke Klinik Kesihatan di Labis sebelum bomba memberi bantuan awal.
"Pasukan perubatan cuba menyelamatkan mangsa sebelum mengesahkan wanita berkenaan telah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Segamat untuk dibedah siasat dan punca kejadian masih belum diketahui.
Mohd Farizan berkata, operasi tersebut tamat pada jam 12.30 tengah hari.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Raub Selamat mengesahkan kejadian itu tetapi enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih sedang dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!