Roboh gerai ceroboh tanah rizab jalan

Sinar Harian melaporkan operasi perobohan struktur gerai yang dilaksanakan PDT Sabak Bernam tular di media sosial.
Sinar Harian melaporkan operasi perobohan struktur gerai yang dilaksanakan PDT Sabak Bernam tular di media sosial.
A
A
A

SABAK BERNAM - Tindakan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sabak Bernam merobohkan gerai penjaja jalan sepanjang tepi Jalan Persekutuan 5 (FR5) dilakukan atas kesalahan menceroboh tanah rizab jalan.

Pegawai Daerah Sabak Bernam, Nasir Mamat berkata, tindakan itu juga dilakukan kerana mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

“Pengguna jalan raya berdepan risiko bahaya kerana terpaksa memberhentikan kenderaan mereka untuk membeli barangan yang dijual di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, kewujudan gerai tepi jalan itu secara tidak langsung mengganggu projek naik taraf FR5 yang sedang dalam pembinaan.

“Kami akan terus memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan berhubung sebarang pencerobohan atau pendudukan secara tak sah di atas tanah kerajaan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN)1965.

“Kami terpaksa mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 18 gerai terlibat selama dua hari berikutan kegagalan penjaja mematuhi arahan perobohan. Sebanyak 13 gerai dirobohkan pada Rabu dan lima gerai lagi Khamis lalu mengikut Seksyen 426A(1)(c) KTN,” katanya.

Nasir berkata, pihaknya sebelum ini pernah mengeluarkan notis pemulihan tanah daripada sebarang pencerobohan kepada 28 gerai tepi jalan pada 26 Julai 2016.

“Daripada jumlah itu, 15 notis diserahkan secara serahan tangan dan 13 notis lain ditampal pada struktur binaan gerai kerana pengusaha tidak dapat dikenal pasti.

Artikel Berkaitan:

“Kemudiannya pada 13 Disember tahun lalu, sekali lagi notis peringatan ditampal pada binaan gerai, selain nasihat secara lisan supaya penjaja mengosongkan tapak pada 1 Januari lalu,” katanya.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan, satu rakaman video tular memaparkan penguat kuasa PDT Sabak Bernam melakukan aktiviti perobohan dipercayai sebuah gerai dodol di Tali Air 7, Sungai Leman di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tular video roboh gerai dodol

Menerusi video berdurasi 42 saat itu, sebuah kenderaan dipercayai pacuan empat roda digunakan bagi operasi merobohkan struktur gerai terbabit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!