Beku akaun, lucuthak pemilik premis
KUALA LUMPUR - Tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan barangan tiruan atau cetak rompak diperluaskan di pemilik premis atau bangunan yang membenarkan aktiviti tersebut di premis mereka.
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, tindakan itu sebagai amaran bagi mengelakkan aktiviti itu.
Menurutnya, kaedah tersebut akan mengurangkan penjualan barangan tiruan atau cetak rompak secara terbuka di pasaran fizikal dengan tindakan tegas di bawah Akta Cap Dagangan 2019 (ACD 2019) dan Akta Hakcipta 1987 (AHC 1987).
"KPDNHEP juga akan menggunakan peruntukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang membolehkan kesemua akaun milik pesalah dibekukan dan dilucuthak.
"Peruntukan kesalahan ini turut terpakai kepada pemilik premis perniagaan atau bangunan kerana bersubahat.
"KPDNHEP sentiasa memberikan perlindungan hak harta intelek bagi melindungi pemilik industri kreatif daripada pencabulan hak harta intelek," ujarnya pada sidang akhbar di Berjaya Times Square di sini hari ini.
Sidang akhbar tersebut berkaitan tindakan penguatkuasaan oleh KPDNHEP terhadap pemilik premis dan bangunan yang membenarkan perniagaan barangan tiruan atau cetak rompak di premis perniagaan.
Mengulas lanjut, Iskandar berkata, sebanyak 13 kes termasuk tiga kes dengan nilai hasil pengubahan wang haram berjumlah RM276,489.90 telah dilucuthak di bawah AMLATFPUAA dari 2016 hingga Julai tahun ini.
Selain itu katanya, dua kes dengan nilai hasil pengubahan wang haram berjumlah RM230,000 telah difailkan ke mahkamah untuk dilucuthak manakala sembilan lagi masih dalam siasatan.
"Jumlah keseluruhan nilai hasil pengubahan wang haram yang dibekukan dan disita di bawah tindakan AMLATFPUAA berkaitan perlindungan hak harta intelek dari 2016 hingga Julai 2020 adalah sebanyak RM26,326,479.80," katanya.
Setakat ini menurut beliau, sebanyak 90 notis peringatan telah diedarkan kepada pemilik premis di pusat membeli-belah terkenal seluruh negara sebagai peringatan tegas.
Katanya, KPDNHEP memandang serius perkara itu dan tidak akan berkompromi selain bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang.
Tambah beliau, sepanjang 2018 hingga Julai 2020 sebanyak 1,421 kes melibatkan barang tiruan dicatatkan dengan nilai rampasan sebanyak RM31,065,886.00.
Daripada jumlah tersebut menurutnya,
75 kes melibatkan kes tangkap, reman dan tuduh di mahkamah bagi peniaga yang melakukan kesalahan menjual barang tiruan.
"Manakala bagi penguatkuasaan cetak rompak, kes yang dihasilkan pada tempoh yang sama adalah sebanyak 438 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM4,173,970.00," katanya.
Orang awam yang menjumpai mana-mana premis menjual barangan tiruan dan cetak rompak di pasaran fizikal mahu pun pasaran dalam talan talian, boleh menyalurkan aduan kepada KPDNHEP di talian 1-800-886-800 atau Whatsapp ke 019-2794317 atau melalui portal eaduan.kpdnhep.gov.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!