Pati terpinga-pinga diserbu Imigresen
PELABUHAN KLANG - Seramai 80 pekerja warga asing yang sedang lena tidur di sebuah penempatan sewa dan asrama warga asing di rumah kedai kawasan perindustrian di Pelabuhan Klang terpinga-pinga apabila penginapan mereka diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Selangor awal pagi tadi.
Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, dalam serbuan yang berakhir jam 3 pagi itu, kesemua warga asing itu gagal melarikan diri dan hasil pemeriksaan 53 orang daripada mereka didapati telah melanggar undang-undang Imigresen.
Menurutnya, serentak dengan operasi itu, Imigresen juga telah menyerbu enam premis pusat perjudian di Bandar Kinrara, Puchong dan memeriksa seramai 142 warga asing.
“Seramai 54 orang dari mereka telah ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen melibatkan 51 wanita dan tiga lelaki.
“Kesemua mereka dipercayai bekerja di keenam-enam premis pusat hiburan terbabit sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO). Ketika serbuan ada cubaan melarikan diri oleh beberapa GRO namun tindakan pantas pegawai operasi telah berjaya menghalang mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Shukri berkata, operasi di kedua-dua lokasi berkenaan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam dan hasil risikan yang dilakukan berhubung lambakan pendatang vtanpa izin (Pati) di kawasan itu.
“Secara keseluruhannya dalam operasi ini, seramai 222 orang warga asing antaranya dari negara Vietnam, China, Indonesia, India dan Bangladesh telah diperiksa dan 108 telah ditahan masing-masing berusia antara 22 hingga 55 tahun.
“Kesemua mereka telah dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri Selangor sebelum direman selama 14 hari dibawah seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut.
“Semua tahanan akan disiasat atas kesalahan dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas/permit yang sah dan Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama kerana tamat tempoh pas serta Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas,” katyanya.
Mohamad Shukri menambah, Imigresen Selangor sentiasa komited dalam melancarkan operasi dari masa ke semasa agar Pati yang berada di negeri Selangor khususnya dapat dibendung dan seterusnya mengambil tindakan penguatkuasaan dibawah undang-undang yang sedang berkuatkuasa.
“Ini termasuk majikan atau orang awam yang menjadi pelindung kepada Pati ini. Justeru diingatkan kepada majikan dan orang awam yang bersengkokol dengan Pati agar tidak melanggar undang-undang,” katanya lagi.
Operasi selama hampir empat jam bermula 11 malam itu dijalankan di dua lokasi membabitkan 63 pegawai dan anggota Imigresen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!