Alexei Navalny sah diracun

Pada 2017, Navalny pernah disimbah dengan pewarna hijau hingga menyebabkan kesan melecur pada matanya akibat bahan kimia tersebut. - Foto Agensi
Pada 2017, Navalny pernah disimbah dengan pewarna hijau hingga menyebabkan kesan melecur pada matanya akibat bahan kimia tersebut. - Foto Agensi
A
A
A

BERLIN - Persoalan sama ada pengkritik lantang Kremlin, Alexei Navalny diracun atau tidak akhirnya terjawab semalam.

Keputusan ujian tersebut didedahkan oleh Hospital Charite di Berlin berdasarkan ujian klinikal dilakukan ke atasnya menunjukkan kesan keracunan dengan bahan daripada kumpulan perencat kolinesterase.

Kolinesterase merupakan enzim yang diperlukan agar sistem saraf pusat berfungsi dengan baik.

Perencatnya pula digunakan untuk menghasilkan ubat Alzheimer dan racun serangga serta agen saraf seperti sarin.

“Prognosis Navalny masih belum jelas. Bahan tertentu yang digunakan untuk meracun Navalny masih tidak diketahui dan ujian lanjut akan dilakukan untuk menentukannya.

“Beliau kini sedang dirawat dengan menggunakan antidot atropine di unit intensif dan masih diletakkan dalam keadaan koma. Walaupun keadaannya serius ia tidak mengancam nyawa,” jelas hospital itu menerusi Twitter.

Pemimpin pembangkang berusia 44 tahun itu dipindahkan ke hospital di Berlin pada Sabtu lalu selepas beliau jatuh sakit secara tiba-tiba di Siberia pada minggu lalu dan doktor Rusia mendakwa ia berpunca daripada gangguan metabolik.

Canselor Angela Merkel yang menawarkan bantuan untuk merawatnya sebelum ini turut menggesa pihak bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.

Artikel Berkaitan:

Navalny kini dirawat dengan menggunakan antidot atropine di Unit Rawatan Rapi Hospital Charite di Berlin selepas dipindahkan dari Omsk Emergency Hospital No 1 di Rusia pada Sabtu lalu. - Foto AFP
Navalny kini dirawat dengan menggunakan antidot atropine di Unit Rawatan Rapi Hospital Charite di Berlin selepas dipindahkan dari Omsk Emergency Hospital No 1 di Rusia pada Sabtu lalu. - Foto AFP

“Pihak berkuasa di Moscow perlu melakukan siasatan menyeluruh secara telus terhadap kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan bersama Menteri Luar, Heiko Maas.

Sementara itu, jurucakap aktivis antirasuah tersebut, Kira Yarmysh menerusi Twitter menyatakan dakwaan diracun itu bukan lagi hipotesis tetapi ia adalah fakta.

Susulan pendedahan laporan perubatan itu, ketua diplomatik Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell turut mendesak pihak berkuasa Rusia melancarkan siasatan bebas dan telus.

“EU mengutuk sekeras-kerasnya terhadap cubaan untuk membunuh Navalny,” katanya di Brussels.

Khamis lalu, tokoh pembangkang terkenal di Moscow itu terpaksa dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) di Siberia selepas pesawat dinaikinya mendarat cemas di bandar Omsk.

Pembantunya mendakwa air teh diminum Navalny di sebuah kafe di lapangan terbang telah dicampurkan racun berikutan beliau jatuh pengsan tidak lama sejurus menaiki pesawat dari Tomsk ketika mahu pulang ke Moscow selepas selesai membantu pembangkang di Siberia menjelang pilihan raya tempatan pada bulan depan.

“Beliau tidak mengambil minuman alkohol atau sebarang ubat-ubatan sebelum kejadian tersebut. Saya pasti beliau diracun dengan sengaja dan ia didalangi Presiden Vladimir Putin,” ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Pakar Toksikologi di Omsk Emergency Hospital No 1, Alexandre Sabayev memaklumkan mereka telah melakukan ujian menyeluruh termasuk perencat kolinesterase.

“Keputusannya adalah negatif,” jelasnya.

Kremlin dalam satu kenyataan juga menegaskan masih terlalu awal untuk menentukan sama ada Navalny diracun dengan sengaja walaupun doktor di Jerman mengesahkan perkara itu.

“Analisis perubatan kami adalah sepadan, namun keputusannya berbeza. Kami tidak faham kenapa mereka terburu-buru sedangkan bahan itu belum disahkan,” kata jurucakapnya, Dmitry Peskov. - AFP

Info:

>Perencat kolinesterase boleh menyekat aktiviti enzim yang menghantar mesej daripada saraf kepada otot yang boleh menyebabkan kekejangan.

>Kesemua otot yang terjejas boleh mempengaruhi pernafasan dan mengakibatkan individu tidak sedarkan diri.

>Dalam kes yang teruk, mangsa mungkin mengalami sesak nafas atau kegagalan jantung.

>Gejala dialami individu bergantung kepada bagaimana mereka terdedah kepada bahan tersebut.

>Ketika racun itu ditelan, individu tersebut akan mengalami rasa mual disusuli sukar bernafas atau penglihatan terjejas apabila ia mula diserap ke dalam tubuh.

>Rawatan menggunakan antidot atropine boleh melegakan simptom dengan menyekat asetikolina, pengantar kimia yang mengawal pengecutan otot.

>Agen saraf yang menyerang enzim yang mengawal asetikolina boleh mengakibatkan kerosakan otot.

>Pesakit biasanya diletakkan dalam keadaan koma supaya tubuh mereka bersih daripada toksin yang mungkin mengambil masa beberapa hari atau minggu.

>Pada 2006, ejen Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB), Alexander Litvinenko maut akibat diracun dengan polonium salah satu unsur radioaktif yang dicampurkan dalam air teh yang diminumnya di London, United Kingdom.

>Pada 2018, bekas perisik Rusia, Sergei Skripal dan anak perempuannya diracun dengan agen Novichok di Salisbury di England, United Kingdom hingga menyebabkan mereka tidak sedarkan diri, namun kedua-duanya terselamat selepas menjalani rawatan antidot atropine.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!