Pos Malaysia catat perolehan pendapatan tertinggi RM606 juta

Perolehan tertinggi itu dipacu oleh permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan kurier dan tarif pos.
Perolehan tertinggi itu dipacu oleh permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan kurier dan tarif pos.
A
A
A

POS Malaysia mencatatkan perolehan pendapatan tertinggi sebanyak RM606.1 juta pada suku kedua berakhir pada 30 Jun 2020, berbanding RM573 juta pada suku sama tahun lalu.

Syarikat itu turut mencatatkan Untung Selepas Cukai (PAT) bulanan pertama pada Jun 2020 semenjak Januari 2019.

Sementara kerugian sebelum cukai pula dicatatkan lebih rendah iaitu sebanyak 8.6 peratus pada RM14.1 juta dan kerugian bersih untuk tempoh tersebut juga menurun dengan ketara sebanyak 61 peratus berbanding suku pertama TK2020 pada RM19 juta.

Pos Malaysia menjelaskan, kejayaan tersebut dipacu oleh permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan kurier dan tarif pos.

“Pendapatan perniagaan kurier Pos Malaysia meningkat 20 peratus pada suku kedua berbanding suku sama pada 2019 dengan peningkatan permintaan dari e-dagang dan pasaran dalam talian.

“Inisiatif transformasi syarikat yang digunakan selama 18 bulan terakhir seperti automasi dan sumber khalayak ramai membolehkan kami mengendalikan rata-rata 487,000 bungkusan sehari, mencapai 800,000 dalam tempoh tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, perniagaan mel meningkat 25 peratus susulan pelaksanaan tarif pos baharu pada Februari 2020 walaupun jumlah pesanan mel menurun pada April akibat penularan koronavirus (Covid-19).

“Pendapatan perniagaan antarabangsa meningkat 14 peratus hasil semakan harga untuk perkhidmatan pemindahan dan perolehan pelanggan baharu.

Artikel Berkaitan:

“Perniagaan runcit juga mengalami peningkatan yang ketara pada Mei dan Jun setelah penurunan yang singkat pada April selepas kemasukan orang ramai ke pejabat pos susulan pelonggaran Perintah Kawalan pergerakan (PKP),” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Syed Md Najib berkata, Pos Malaysia berada dalam fasa pemulihan dan berusaha untuk melaksanakan rancangan transformasinya bagi menjana keuntungan yang berterusan.

“Kami melihat jumlah kurier yang lebih tinggi daripada biasa walaupun selepas PKP dilonggarkan dan kami menjangkakan tren ini akan berterusan sehingga hujung tahun.

“Oleh yang demikian, kami akan terus memberi tumpuan kepada pelaburan dalam digital, automasi dan sumber khidmat penghantar barang yang menjadi kekuatan kepada perniagaan kami dalam usaha memenuhi keperluan pelanggan dalam situasi ekonomi yang dipacu oleh digital,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!