Amanah lapor polis dakwaan salah guna bahan kerajaan
TANJUNG MALIM - Parti Amanah Negara (Amanah) membuat laporan polis mengenai dakwaan berlaku salah guna bahan milik kerajaan untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Ketua Pemuda Amanah Perak, Khairul Najib Hashim mendakwa sekumpulan lelaki berkempen dengan mengedarkan risalah calon BN bersama Jalur Gemilang yang tertera ‘sumbangan Jabatan Penerangan Malaysia’.
“Semasa kami minum di sebuah restoran sekitar jam 5.30 petang semalam, sekumpulan lelaki berpakaian putih berlogo mengedar risalah calon Mohd Zaidi Aziz bersama Jalur Gemilang sambil meminta undi calon tersebut.
“Kami lihat ia sebagai salah laku penggunaan bahan kerajaan dalam fasa berkempen. Kalau nak edar belilah Jalur Gemilang sendiri,” katanya pada sidang media selepas selesai membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini hari ini.
Menurutnya, polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu siasat berhubung wujudnya elemen tersebut.
"Laporan ini dibuat supaya polis dan SPR menyiasat salah laku yang dilakukan oleh kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Ini salah laku dalam tatacara pilihan raya.
"Dalam pilihan raya melibatkan pertempuran antara parti politik dan parti politik, bukannya antara kerajaan dan parti," katanya.
Sinar Harian semalam melaporkan polis telah menerima tiga laporan berkaitan PRK sejak 15 Ogos lalu.
Tiga laporan itu melibatkan perbuatan khianat ke atas harta benda membabitkan papan iklan calon bertanding disembur cat, kenyataan tidak benar yang dimuat naik di media sosial dan aduan berlaku unsur sogokan terhadap pengundi dalam program anjuran Kementerian Sumber Manusia.
ARTIKEL BERKAITAN: Agihan bendera tiada kaitan kempen politik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!