'Hadiah istimewa' dari Kuwait tak dapat, RM6,500 lesap

Seorang pekerja kilang kerugian RM6,500 akibat terpedaya dengan sindiket 'parcel scam' selepas berkenalan dengan seorang lelaki dari Kuwait menerusi Facebook, Jun lalu.
Seorang pekerja kilang kerugian RM6,500 akibat terpedaya dengan sindiket 'parcel scam' selepas berkenalan dengan seorang lelaki dari Kuwait menerusi Facebook, Jun lalu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pekerja kilang kerugian RM6,500 akibat terpedaya dengan sindiket 'parcel scam' selepas berkenalan dengan seorang lelaki dari Kuwait menerusi Facebook, Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 35 tahun itu mendakwa kenalannya bernama Adam Mohamed itu mengirimkan 'hadiah istimewa' baju, tudung dan 'teddy bear' sebagai tanda perkenalan pada 20 Jun lalu.

Menurutnya, mangsa diminta membayar kos penghantaran RM1,000 sebelum menuntut hadiah tersebut.

"Pada hari berikutnya, mangsa menerima panggilan daripada individu kononnya dari syarikat kurier memaklumkan kiriman daripada Adam Mohamed telah sampai dan dia diminta menjelaskan kos penghantaran sebelum bungkusan diserahkan.

"Mangsa menjelaskan bayaran itu pada malam hari yang sama melalui akaun bank atas nama individu bernama Kingsley," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, selepas bayaran itu dibuat, mangsa dihubungi lagi dan dimaklumkan bungkusan tersebut ditahan pihak berkuasa kerana mengandungi sejumlah mata wang asing yang disyaki ada kaitan dengan kes pengubahan wang haram.

"Mangsa diarah membayar RM3,000 bagi memastikan bungkusan itu dapat diserahkan selain bagi mengelaknya didakwa di mahkamah.

"Bimbang berdepan tindakan undang-undang, mangsa membuat bayaran itu secara berperingkat pada 29 Jun hingga 5 Julai lalu melalui akaun bank yang sama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Wazir berkata, mangsa juga turut dihubungi Adam Mohamed untuk meminjam wang RM2,500 dan dia membantu kenalannya itu dengan memasukkan wang seperti diminta ke akaun bank, namun atas nama individu lain.

"Mangsa mula curiga dan membuat laporan polis apabila suspek terus meminta wang sedangkan barang yang dikatakan dikirimkan tidak sampai sehingga sekarang.

"Polis sedang mengesan pemilik akaun bank dan nombor telefon yang digunakan dalam kes ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!