The Hook Grande tetap kukuh dalam pasaran

IMG_20200821_133400
IMG_20200821_133400
A
A
A

TIDAK melekit, mudah diurus dan dibersihkan adalah antara kelebihan pomade jenama The Hook Grande yang dikeluarkan oleh Poisson Supreme Supply Enterprise.

Pengasasnya, Mohd Hafiz Ahmad,39, berkata, kelebihan tersebut menyebabkan jenama minyak rambut berkenaan mampu bertahan dan terus mencipta jualan sehingga ke hari ini.

“Pemilihan minyak rambut yang betul penting untuk semua lelaki. Jika tersilap pilih ia boleh mengakibatkan rambut rosak, kulit kepala berminyak dan kelemumur.

“Jadi kami hasilkan produk yang sesuai dengan cuaca di Malaysia yang dapat membantu gaya rambut lebih tahan lama, pada masa sama tidak meninggalkan rasa berat atau melekit pada rambut,”katanya kepada Bisnes Sinar.

Memulakan perniagaan sekitar 2016 dengan modal sebanyak RM600, Mohd Hafiz berkata, perniagaan yang diuruskan bersama rakan kongsinya, Tengku Muhammad Shafiq Tengku Sharif,37, itu masih mampu mencipta jualan antara antara 7,000 sehingga 10,000 unit setiap bulan.

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlahnya berbeza ketika pomade mengecap zaman kegemilangannya sekitar 2016.

Pada ketika itu, katanya, syarikatnya yang beroperasi di Seremban, Negeri Sembilan mampu menjual The Hook Grande antara 15,000 sehingga 20,000 pada setiap bulan.

Namun, jelasnya, lambakan jenama pomade dalam pasaran menyebabkan jualan The Hook Grande merosot.

Artikel Berkaitan:

“Kami bersyukur produk kami masih mampu bertahan sehingga kini.

“Ia bukan mudah tapi saya percaya jika produk kita bagus, pelanggan pasti akan terus membelinya,” katanya.

Tambahnya, permintaan berterusan daripada kedai gunting rambut dari seluruh negara juga banyak membantu syarikatnya mengukuhkan kedudukan dalam perniagaan pomade.

Idea

Mohd Hafiz berkata, idea memulakan perniagaan pomade tercetus apabila beliau menghadapi masalah untuk mendapatkan minyak rambut yang sesuai.

Katanya, bermacam-macam jenis minyak rambut telah dicuba namun tiada satu yang benar-benar memuaskan hatinya.

“Hasil carian di Internet, saya cuba buat sendiri pomade di rumah dan hasilnya memuaskan.

“Kemudian saya kongsi pula dengan kawan-kawan dan mereka memberikan maklum balas yang sangat baik,” katanya.


Mohd Hafiz menunjukkan pomade haruman tembikai susu yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna.
Mohd Hafiz menunjukkan pomade haruman tembikai susu yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna.

Haruman

Rentetan itu, Mohd Hafiz berkata, beliau dan rakan kongsinya mengambil inisiatif menjalankan perniagaan berkenaan.

“Waktu ini adalah zaman permulaan pomade. Produk kami bermula dari ‘makmal’ dapur rumah saya saja.

“Kini, kami buat di makmal di China supaya hasilnya tidak mendatangkan mudarat kepada rambut pengguna,” katanya.

The Hook Grande tampil dengan haruman buah-buahan yang terdiri daripada anggur, strawberi dan tembikai susu.

Ia didatangkan dalam bekas 300 gram pada harga RM45 seunit.

Berbeza dengan jenama pomade lain yang menggunakan pendekatan karakter hipster, The Hook Grande tampil dengan karakter kartun ikan.

Difahamkan, kartun tersebut sinonim dengan Mohd Hafiz dan Tengku Muhammad Shafiq yang minat memancing.

Mohd Hafiz berkata, pada awal perniagaannya, The Hook Grande menggunakan bekas 150 gram namun mereka menukarnya kepada bekas yang lebih besar.

“Selain tahan lama, bekas besar juga boleh dikongsi dengan lebih ramai orang,” katanya.

Katanya, produk tersebut boleh didapati di seluruh negara sama ada di kedai fizikal atau secara dalam talian menerusi Shopee dan Lazada.

“Kami mempunyai lima pengedar setakat ini iaitu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu.

“Kami juga mengalu-alukan mereka yang berminat untuk menjadi pengedar, terutamanya di Sabah dan Sarawak,” katanya yang pernah memasarkan The Hook Grande hingga ke Singapura, Indonesia dan Brunei.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!