MGSEIF tawar pulangan jangka panjang
MAYBANK Asset Management Sdn Bhd melancarkan Maybank Global Sustainable Equity-I Fund (MGSEIF), dana ekuiti global yang mengambil kira faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam pelaburan bagi meningkatkan pulangan jangka panjang.
Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, MGSEIF menawarkan peluang kepada pelabur yang mencari potensi meraih pendapatan dan pertumbuhan modal, terutamanya dalam pelaburan portfolio ekuiti ESG Syariah. Ia direka untuk pelabur yang mahukan potensi pendapatan modal jangka panjang, berminat melabur dalam kepelbagaian portfolio ekuiti patuh syariah global yang memenuhi kriteria kelestarian dana.
“Dana ini akan melabur terutamanya dalam portfolio berlandaskan prinsip syariah dan pelaburan mampan.
“Ia melabur sekurang-kurangnya 80 peratus dalam ekuiti dan sekuriti patuh syariah serta melabur sehingga 20 peratus dalam aset cair berlandaskan syariat Islam,” katanya semalam.
Menurutnya, MGSEIF mempunyai keunikan tersendiri kerana pelaburannya dibuat berdasarkan model kelestarian atau kemampanan ekuiti sejagat dengan mengintegrasikan nilai ESG dalam proses membuat keputusan pelaburannya
Katanya, syarikat global yang mampan telah menunjukkan pencapaian lebih tinggi pada tahap kemeruapan atau turun naik yang rendah sejak 10 tahun lalu dan sehingga 31 Disember 2018, pelaburan kelestarian sejagat berkembang 300 peratus kepada AS$30.7 bilion (RM128 bilion) hanya dalam tempoh tujuh tahun. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!