Tidak boleh tulis, simpan rekod suhu badan
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Rekod suhu badan yang diambil sewaktu pemeriksaan di premis-premis perniagaan tidak sepatutnya ditulis atau disimpan oleh pemilik premis tersebut.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin ketika sesi jawab lisan di Parlimen hari ini memberitahu, perbuatan menyimpan rekod suhu badan pengunjung adalah bercanggah dengan kerangka tatacara pengendalian bagi pengumpulan, pemprosesan dan penyimpanan data peribadi yang ditetapkan kerajaan.
Beliau berkata, mengikut tatacara pengendalian yang ditetapkan, premis hanya dibenarkan mencatatkan nama, nombor telefon, tarikh dan masa kehadiran pengunjung ke premis perniagaan.
Katanya, kedua kaedah pengumpulan data peribadi juga adalah tertakluk kepada premis perniagaan dan paparan notis yang jelas mengenai tujuan pengumpulan data peribadi juga perlu ada.
"Data peribadi yang dikumpul hanya digunakan untuk pengesanan kontak selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
"Tempoh penyimpanan data peribadi pengunjung ini adalah sehingga enam bulan tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan mesti dimusnahkan dan dipadam secara kekal selepas sembilan bulan," katanya.
Zahidi (BN-Padang Besar) berkata, namun terdapat sedikit kekeliruan ketika ini, di mana apabila pengunjung pergi ke premis-premis perniagaan mereka diminta menulis suhu badan.
"Ia tidak wajib dan dari segi tatacara yang kita keluarkan, ia adalah salah kerana menulis tentang suhu badan ini tidak boleh dilakukan. Penjelasan ini untuk pengetahuan semua," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!