Penunggang motosikal maut dirempuh lori
NILAI - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah lori di Jalan Nilai-Pajam di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Noor Marzukee Besar berkata, mangsa, Chew Beng Lam, 58, disahkan maut di tempat kejadian.
Menurutnya, semasa kejadian, pemandu lori yang membawa muatan air mineral dalam perjalanan dari Mantin ke Bandar Enstek, Sendayan.
"Sampai ke lokasi kejadian pemandu lori yang berusia 33 tahun itu terasa seakan melanggar sesuatu.
"Dia kemudiannya berhentikan lori dan turun sebelum terlihat mangsa berada di bawah lori," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat," katanya.
Beliau berkata, sampel darah pemandu lori diambil untuk mengesan kandungan alkohol dan dadah.
"Pemandu lori telah pun dibebaskan selepas rakaman percakapan dan sampel darah diambil.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!