Sorok rokok seludup, mercun bernilai RM25,000

Rokok dan mercun bernilai RM25,000 dipercayai diperolehi dari Kota Bharu bertujuan untuk diedarkan secara borong dari rumah suspek.
Rokok dan mercun bernilai RM25,000 dipercayai diperolehi dari Kota Bharu bertujuan untuk diedarkan secara borong dari rumah suspek.
A
A
A

TUMPAT - Taktik licik seorang penyeludup menggunakan modus operandi mengedar 346 karton rokok seludup dan mercun bernilai RM25,000 secara borong dari rumah berjaya dipatahkan dalam serbuan di Wakaf Bharu di sini semalam.

Suspek berusia 39 tahun ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Tumpat pada jam 1.30 tengah hari.

Ketua Polis daerah, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, hasil maklumat awam polis pergi ke rumah peniaga kedai runcit berkenaan dan memperkenalkan diri namun tidak ada jawapan.

“Anggota melihat kelibat seorang lelaki berada di dalam rumah dan menyuruhnya membuka pintu namun enggan hingga terpaksa memecahkan pintu. Suspek keluar dari bilik dan mengaku sebagai pemilik rumah itu.

“Pemeriksaan dalam sebuah bilik kecil di dalam rumah itu menjumpai 346 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM22,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di sini hari ini.

Ab Rashid (dua dari kiri) bersama barisan pegawai menunjukkan rokok seludup dan mercun yang dirampas pasukan polis dari sebuah rumah milik peniaga kedai runcit di Wakaf Bharu, Tumpat.
Ab Rashid (dua dari kiri) bersama barisan pegawai menunjukkan rokok seludup dan mercun yang dirampas pasukan polis dari sebuah rumah milik peniaga kedai runcit di Wakaf Bharu, Tumpat.

Beliau berkata, pasukan serbuan seterusnya memeriksa sebuah bilik lain menemui pelbagai jenis mercun bernilai RM3,000.

“Hasil siasatan awal suspek aktif menjalankan kegiatan mengedar rokok seludup secara borong dari rumah sejak beberapa bulan lalu. Bekalan dipercayai diambil dari Kota Bharu bertujuan dipasarkan di sekitar Tumpat.

Artikel Berkaitan:

“Semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau dadah mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Katanya, suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Akta Kastam 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!