IPCMC ditarik balik, RUU baharu dibentang
KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditarik balik daripada dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 62.
"Saya mohon untuk tarik balik DR 25/2019 Rang Undang Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis 2019, seperti tertera pada nombor tujuh dalam aturan urusan mesyuarat hari ini," katanya.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon menerima dan mengesahkan keputusan tersebut serta meluluskan penarikan balik RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2019 yang berada pada kedudukan keenam dalam aturan urusan mesyuarat hari ini.
Susulan daripada itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said bangun mengemukakan peruntukan baharu menggantikan IPCMC iaitu RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 untuk bacaan kali pertama.
Ismail berkata, bacaan kali kedua dan ketiga RUU tersebut akan dibuat pada sidang mesyuarat Dewan Rakyat yang sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!