Saksi utama cuti sakit, bicara Ahmad Zahid tangguh

Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) hadir pada hari pertama prosiding perbicaraan kesnya di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto Bernama
Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) hadir pada hari pertama prosiding perbicaraan kesnya di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prosiding perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit daripada dana Yayasan Akalbudi hari ini ditangguhkan kepada Jumaat kerana saksi utama pendakwaan kes itu cuti sakit.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah bahawa Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly yang merupakan bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid diberi cuti sakit hari ini.

"Kami mendapat mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada saksi Mejar Mazlina bahawa beliau mendapat cuti sakit.

“Pihak kami telah serahkan salinan gambar cuti sakit (yang diberi melalui WhatsApp) kepada mahkamah dengan aku janji untuk menyerahkan salinan asal (cuti sakit) kepada mahkamah pada Jumaat ini," katanya.

Sepatutnya, hari ini yang merupakan hari ke-39 perbicaraan ditetapkan untuk Mazlina disoal balas oleh pihak pembelaan yang mewakili Ahmad Zahid.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mengetuai pasukan pembelaan tidak membantah penangguhan perbicaraan kes itu.

Semalam, saksi pendakwaan ke-90 itu memberitahu mahkamah bahawa Ahmad Zahid telah membenarkannya menggunakan cop tandatangan milik Presiden UMNO itu pada cek-cek Yayasan Akalbudi bagi pembayaran bil kad kredit peribadi tertuduh pada 2014.

Mazlina, 42, juga berkata, Ahmad Zahid ada mengarahkannya supaya tidak lagi menggunakan cek Yayasan Akalbudi untuk pembayaran kad kredit kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sudah mula membuat siasatan.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!