Saya masih Ahli Parlimen Amanah, kata Salahuddin
KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Salahuddin Ayub menafikan khabar angin kononnya beliau bersama lima lagi Ahli Parlimen dari parti itu akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ahli Parlimen Pulai itu menyifatkan khabar angin itu hanya 'cubaan nakal' yang semata-mata bertujuan menarik beliau serta yang lain untuk melompat parti.
"Saya masih lagi Parlimen Amanah dan lima yang lain masih lagi duduk di kerusi pembangkang sebagai Ahli Parlimen pembangkang," katanya di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Terdahulu menurut satu sumber maklumat yang disebar ramai menerusi media sosial, enam Ahli Parlimen Amanah dikatakan akan menyertai Bersatu dalam masa terdekat bagi menyokong kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengelakkan krisis politik kembali berulang.
Parti Amanah ketika ini mempunyai 11 Ahli Parlimen.
Salahuddin berkata, ini adalah kali kedua beliau dilanda khabar angin serupa, apabila sebulan lalu beliau didakwa menjadi dalang bersama dua lagi Ahli Parlimen Amanah dikatakan akan melompat parti. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!