Asrama terbakar, 15 pelajar terselamat
JERANTUT - Seramai 15 pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Majlis Ulu Cheka (Darul Ehyail Maarif) di sini terselamat selepas asrama yang dihuni mereka terbakar pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi, asrama yang menempatkan pelajar lelaki itu musnah dalam kejadian tersebut.
Ketika kejadian, pelajar berada di dalam kelas yang bersambung dengan bangunan asrama sekolah itu bersama guru mereka.
Pengetuanya, Abdul Ghani Abdul Kadir berkata, kejadian itu disedari guru bertugas yang terlihat percikan api di bangunan asrama terbabit.
Menurutnya, kebakaran juga menyebabkan dua buah kelas dan dewan sekolah itu turut terjejas.
"Ini kejadian kali pertama yang berlaku di sekolah ini yang mula ditubuhkan pada tahun 1955.
"Saya bersyukur kerana semua pelajar terselamat," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, jumlah kerugian akibat kejadian itu masih belum diketahui.
Sekolah tersebut menempatkan 61 pelajar iaitu 37 lelaki dan selebihnya perempuan berusia 13 hingga 17 tahun dengan 15 tenaga pengajar.
Orang ramai yang ingin meringankan beban pihak sekolah boleh menghulurkan sumbangan ke dalam akaun CIMB (7035632686) atas nama Maahad Darul Ehyail Maarif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!