KPM nafi tawar peperiksaan UPSR, PT3 khas dalam talian
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak menawarkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Khas (UPSRx) dan Pentaksiran Tingkatan 3 Khas (PT3x) yang diadakan dalam talian seperti tular di laman sosial.
KPM dalam satu kenyataan media menegaskan, peperiksaan tersebut bukan di bawah kendalian Lembaga Peperiksaan dan tiada kaitan dengan KPM.
"KPM telah mengumumkan bahawa peperiksaan UPSR dan PT3 bagi tahun 2020 dibatalkan pada 15 April lalu.
"Walau bagaimanapun, KPM mendapati sebuah portal telah menawarkan peperiksaan UPSRx dan PT3x yang akan diadakan secara dalam talian pada bulan September dan Oktober 2020," katanya di sini.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius perkara ini kerana melanggar Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
"Untuk makluman, KPM telah mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak yang terlibat.
"Orang ramai, terutama ibu bapa kepada murid Tahun Enam dan Tingkatan Tiga dinasihatkan merujuk portal rasmi KPM di http://www.moe.gov.my/ dan portal Lembaga Peperiksaan di http://lp.moe.gov.my/ bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih mengenai peperiksaan yang dilaksanakan oleh KPM," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!