Jawatankuasa khas tangani isu perumahan anggota tentera

Ismail Sabri ketika melakukan lawatan kerja ke Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Batu Kentonmen hari ini. Foto: Bernama
Ismail Sabri ketika melakukan lawatan kerja ke Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Batu Kentonmen hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu jawatankuasa khas bagi memberi tumpuan kepada perumahan anggota tentera di seluruh negara akan ditubuhkan, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, jawatankuasa khas itu bertujuan mengkaji isu-isu dan permasalahan perumahan anggota tentera serta berperanan untuk mencadangkan kaedah penyelesaian.

“Ada sesetengah kontrak perumahan itu telah ditandatangani selama lima hingga 10 tahun tetapi projek perumahan tidak bermula, maka jawatankuasa ini akan mengkaji setiap perjanjian yang telah kementerian tandatangani.

“Banyak cadangan mengenai projek pembangunan antaranya secara land swap (pertukaran tanah) untuk membina perumahan mereka (anggota tentera),” katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan kerja ke Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Batu Kentomen di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, sekiranya ada projek perumahan yang gagal dilaksanakan dan mempunyai masalah, kementerian akan membatalkan perjanjian yang telah ditandatangani.

“Saya memang tidak berkompromi dalam hal ini (perumahan anggota tentera) dan kami akan melantik pemaju yang baharu supaya (projek perumahan tentera) diteruskan dan menyelesaikan perumahan mereka,” katanya.

Ismail Sabri berkata, perumahan anggota tentera yang sedia ada juga semakin teruk dan usang.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri meluangkan masa untuk beramah mesra bersama Sarjan Adini Ismail bersama anaknya Nur Maya Alisha Amnizam, 2, yang menghidap leukimia dan down syndrom ketika melakukan lawatan kerja ke RKAT di Kem Batu Kentonmen hari ini.Foto: Bernama
Ismail Sabri meluangkan masa untuk beramah mesra bersama Sarjan Adini Ismail bersama anaknya Nur Maya Alisha Amnizam, 2, yang menghidap leukimia dan down syndrom ketika melakukan lawatan kerja ke RKAT di Kem Batu Kentonmen hari ini.Foto: Bernama

“Saya mendapati banyak perubahan yang perlu dilakukan terhadap perumahan anggota tentera kerana sesetengah bangunan itu wujud di tahun 70-an. Dari segi bilik (rumah tentera) pun hanya ada dua bilik dan ini sudah bertentangan dengan dasar kerajaan dari segi perumahan iaitu minimum tiga bilik untuk setiap rakyat Malaysia. Maka untuk anggota tentera juga kena sediakan minimum tiga bilik,” katanya.

Beliau berkata perkara ini perlu diselesaikan dengan segera dan anggota tentera memerlukan sebanyak 35,000 unit rumah.

“Setakat ini, ramai (anggota) tentera yang menyewa di luar dari kem tentera malah elaun perumahan mereka saya berpendapat untuk di bandar besar seperti Kuala Lumpur ini tidak mencukupi iaitu antara RM350 hingga RM380.

“Ini pun masih belum tentu dapat sebuah bilik atau rumah dan ini akan menyusahkan anggota tentera kita dan mereka terpaksa menggunakan sebahagian besar gaji untuk membayar sewa rumah dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, program Satu Anggota Satu Rumah (Sasar) juga untuk anggota tentera yang menetap di kuarters kerana mereka tidak mampu memiliki rumah sendiri yang harganya jauh lebih mahal.

“Ada juga anggota tentera yang bersara awal dan terpaksa menyewa rumah walaupun telah pencen, jawatankuasa berkenaan akan mengkaji perkara ini,” katanya.

Ismail Sabri berkata beliau akan berjumpa dengan pihak Affin Bank yang pemegang sahamnya adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera, supaya dapat menyediakan pakej khas untuk pembiayaan perumahan.

Beliau berkata, pakej khas itu adalah untuk anggota tentera dan bekas tentera yang telah pencen untuk membeli dan memiliki rumah sendiri sebagai usaha mengurangkan beban mereka. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!