Undi saat akhir sangat berharga
CAMERON HIGHLANDS - Bekerja dan ingin elakkan kesesakan antara alasan pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab mengundi di saat-saat akhir.
Di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, di sini, ada pengundi yang hanya tiba kira-kira jam 5.15 petang walaupun tempoh mengundi tamat pada jam 5.30 petang.
Seorang peniaga, Rozaidi Md Yusoff, 42, berkata, dia terpaksa keluar lewat kerana ada urusan kerja perlu diselesaikan.
"Sejak tahu ada pilihan raya kecil di sini, saya memang berazam mahu mengundi. Selepas selesaikan kerja saya terus ke sini.
"Bagi saya setiap undi amat berharga. Jadi saya tak mahu lepaskan peluang ini," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Teh Gaik Choo, 73, berkata, dia mengundi lambat bagi mengelakkan beratur panjang.
"Saya dah datang pagi tadi tapi ramai sangat yang beratur. Sebab itu saya datang petang, tak sampai seminit dah selesai undi," katanya.
Bagi Ramli Awang, 68, cuaca hujan di sebelah petang tidak menghalangnya keluar mengundi walaupun lewat.
"Waktu pagi ada macam-macam hal nak uruskan, sebab itu saya keluar undi lambat.
"Hujan bukan alasan kerana tanggungjawab mengundi itu lebih penting," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!