Denda RM50,000 terhadap majikan gagal patuh Akta 446

M Saravanan (kanan) beramah mesra bersama pekerja ketika membuat lawatan kerja ke kilang Top Glove di Meru Klang hari ini.
Turut serta, Pengarah Urusan Top Glove Datuk Lee Kim Meow. Foto: Bernama
M Saravanan (kanan) beramah mesra bersama pekerja ketika membuat lawatan kerja ke kilang Top Glove di Meru Klang hari ini. Turut serta, Pengarah Urusan Top Glove Datuk Lee Kim Meow. Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kegagalan majikan mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang dikuatkuasakan sepenuhnya bermula Selasa ini akan dikenakan denda RM50,000 bagi setiap kesalahan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, penguatkuasaan akta itu yang akan dilakukan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) adalah bagi memastikan majikan mematuhi peruntukan dalam undang-undang berkenaan.

“Mulai Selasa depan, majikan perlu mematuhi Akta 446 membabitkan penyediaan perumahan yang sesuai serta kemudahan lain untuk pekerja.

Kita juga akan sentiasa melakukan lawatan terhadap pemain industri untuk memastikan mereka patuh kepada akta tersebut," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Menara Top Glove, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Top Glove Corporation Bhd (Top Glove), Tan Sri Dr Lim Wee Chai.

Pada 1 Jun lepas, pindaan Akta 446 yang diperluaskan kepada semua sektor pekerjaan bagi menyediakan kemudahan perumahan dan penginapan untuk pekerja telah dikuatkuasakan.

Kerajaan sebelum ini turut memberi penangguhan selama tiga bulan sehingga Isnin ini bagi memberikan ruang kepada majikan membuat persediaan sewajarnya.

Bidang kuasa Akta 446 sebelum ini hanya mencakupi aspek perumahan dan penginapan pekerja di sektor perladangan yang melebihi lapan hektar (20 ekar) dan perlombongan sahaja.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Saravanan berkata pihaknya kini dalam peringkat akhir melaksanakan sistem penggajian e-wages bagi memastikan pembayaran gaji pekerja asing dilakukan secara telus.

Katanya, pelaksanaan sistem berkenaan akan dilakukan secepat mungkin dan ia melibatkan semua sektor industri dalam negara.

Mengulas mengenai isu perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan menggunakan motosikal atau ‘p-hailing’ (parcel-hailing), Saravanan berkata pihaknya akan berbincang dengan syarikat penyedia untuk mencari penyelesaian berhubung beberapa perkara membabitkan penghantar makanan.

Bercakap mengenai sekatan Amerika Syarikat terhadap Top Glove pula, Saravanan berkata, beliau dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Jamil Rakon akan berbincang dengan pemain industri dan pihak berkepentingan untuk mencari jalan penyelesaian.

Menurut kenyataan Kementerian Sumber Manusia yang dikeluarkan hari ini (Akta 446) yang mula berkuat kuasa 1 Sept tahun ini dijangka dapat menangani isu keadaan tempat tinggal pekerja asing yang dikatakan antara sebab sekatan terhadap Top Glove.

Menerusi akta itu, pihak majikan atau syarikat perlu membina sendiri penginapan atau boleh menggunakan perkhidmatan Penginapan Berpusat Pekerja (CLQ) yang disediakan oleh penyedia penginapan yang diperakukan oleh Jabatan Tenaga Kerja.

Kementerian itu juga berkata M Saravanan hari ini mengetuai lawatan ke syarikat pengeluar sarung tangan Top Glove, yang dua anak syarikatnya dikenakan arahan sekatan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).

Lawatan kerja itu turut disertai pegawai dari Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta wakil Kedutaan Amerika Syarikat.

Selain daripada Menara Top Glove, mereka juga melawat Pusat Penyelidikan & Pembangunan (R&D) Top Glove dan asrama pekerja.

Lawatan itu susulan perintah “Withhold Release Order” (WRO) yang dikenakan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS ke atas Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd pada 15 Julai lepas berikutan dakwaan penggunaan buruh paksa semasa proses pembuatan sarung tangan getah syarikat itu. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!