Sisa letupan Beirut seberat Menara Eiffel

Antara sisa besi yang dikumpulkan dalam operasi pembersihan susulan letupan dahsyat di pelabuhan Beirut. - Foto: AFP
Antara sisa besi yang dikumpulkan dalam operasi pembersihan susulan letupan dahsyat di pelabuhan Beirut. - Foto: AFP
A
A
A

BEIRUT - Tentera Perancis dan Lubnan membersihkan kira-kira 8,000 tan sisa besi dan konkrit di pelabuhan Beirut yang bersamaan berat Menara Eiffel di Paris, menurut pihak berkuasa hari ini.

"Kami mengambil masa empat hari untuk menyelesaikan operasi tersebut," kata Leftenan Paulin dari Perancis yang merupakan pegawai penyelaras untuk pembersihan di pelabuhan tersebut yang musnah teruk dalam letupan dahsyat pada 4 Ogos lalu.

Operasi itu turut disertai puluhan trak dan jentera berat yang dibawa oleh kapal pengangkut amfibia, Tonnerre dari Paris yang tiba di Beirut pada awal bulan lalu.

Letupan terbesar dalam sejarah Lubnan itu turut menghasilkan kawah sedalam 43 meter.

Sementara itu, jurucakap tentera, Kolonel Yusef Haidar berkata, pelabuhan itu kini beroperasi separuh daripada 90 peratus kapasiti sebelum ini.

"Minggu lalu, operasinya hanya sekitar 30 peratus dan kini meningkat kepada 45 peratus," jelasnya.

Kira-kira tiga minggu selepas insiden letupan itu yang didakwa berpunca daripada kecuaian pemerintah, pelabuhan itu masih dicemari dengan pelbagai objek termasuk kontena yang musnah dalam kejadian tersebut.

Ketika ini, tentera Perancis dan Lubnan sedang berhempas pulas mengasingkan sisa objek tersebut bagi membolehkan peniaga dan pakar insurans menilai kerugian dalam tempoh beberapa hari akan datang. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!