Anak VIP dikompaun langgar PKPP di pub
KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan seorang anak kenamaan (VIP) antara 29 pengunjung yang ditahan sebuah pub di Taman Tun Dr Ismail, di sini, yang disyaki melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan jam 1.20 pagi itu, polis menahan 20 lelaki dan sembilan wanita yang berada di premis tersebut yang beroperasi melebihi had masa dibenarkan dalam tempoh PKPP.
"Kita turut menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang dipercayai pengurus premis, seorang lelaki warga Bangladesh dan tiga wanita warga Filipina disyaki pekerja premis berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mazlan berkata, siasatan lanjut mendapati premis tersebut beroperasi tanpa lesen perniagaan sah.
"Selain itu, kita membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 bagi kesalahan pemilik premis menggaji warganegara asing dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
"Selain itu kes turut disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(no.7) 2020," kata beliau lagi.
Beliau berkata, keempat-empat suspek warga asing yang berusia dalam lingkungan 33 hingga 52 tahun itu ditahan reman selama 14 hari bermula 22 Ogos sehingga 4 September 2020 untuk siasatan lanjut.
"Seramai 29 individu berusia dalam lingkungan 21 hingga 48 tahun itu dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang," katanya.
Tambah Mazlan, pihaknya tidak mengamalkan double standard dan tidak sesekali berkompromi terhadap mana-mana individu termasuk anak VIP tersebut yang didapati melakukan kesalahan melanggar PKPP.
"Mereka dikenakan tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan," tegas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!