Warung Corona ganti Puteri Bunian
MENGAMBIL iktibar peristiwa yang berlaku sepanjang penularan koronavirus (Covid-19) di seluruh dunia, pengusaha Warung Puteri Bunian di Kampung Tengah di sini tekad menukar nama kedai makan diusahakannya kepada Corona Middle Village.
Pemiliknya, Nor Hasanah Mohd Noor, 58, berkata, sebelum ini kedai makan diusahakan itu diberi nama Warung Puteri Bunian sempena sejarah tanah didudukinya dipercayai dihuni orang bunian.
Menurutnya, ketika tanah itu mula-mula diteroka puluhan tahun dulu, penduduk kampung sering terdengar bunyi riuh-rendah seperti kenduri-kendara namun tiada apa yang berlaku di alam nyata.
“Ini cerita benar. Saya sendiri dengar bunyi orang memasak, basuh periuk dan orang berbual di kawasan tanah ini. Setiap tahun mesti orang kampung akan dengar bunyi orang buat kenduri, sekurang-kurangnya sekali.
“Dulu mungkin tempat bunian tetapi sekarang tidak lagi ada kerana kawasan hutan sudah dimajukan sebagai kawasan taman perumahan. Tak tahulah ke mana orang bunian itu sudah berpindah,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Nor Hasanah berkata, apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, hidupnya anak-beranak diuji dan diduga dengan hebat sekali.
Katanya, sebelum PKP dia menggunakan sebahagian besar wang simpanan untuk mengubahsuai rumah didudukinya.
“Tidak sampai sehari rumah siap diubahsuai, berita sedih diterima apabila terpaksa menghentikan operasi kedai makan kerana pelaksanaan PKP.
“Masa itu saya rasa dunia menjadi gelap seketika kerana terpaksa bertahan dengan duit simpanan sebanyak RM2,000 yang tinggal. Anak lelaki pula dibuang kerja ketika itu.
“Masa saya tengah susah, ramai pula yang datang ke rumah minta pertolongan kerana mereka terputus bekalan makanan dan anak-anak sudah kehabisan susu. Walaupun susah saya bantu juga kerana memikirkan mereka lebih susah daripada saya,” katanya.
Nor Hasanah berkata, memikirkan segala dugaan yang dilaluinya sepanjang PKP, dia dan suami kemudian terlintas di fikiran untuk menukar nama kedai makan mereka.
Katanya, nama Corona diambil sempena wabak yang kini menyerang dunia manakala Middle Village disebabkan kedai makan diusahakan sejak tahun 2015 itu terletak di Kampung Tengah.
“Saya menginsafi ALLAH SWT hantar Covid-19 ini untuk kita berkongsi apa yang kita ada masa kita susah kepada orang yang lebih susah. Saya sedih bila fikir balik langsung tak ada modal nak buka balik kedai lepas kerajaan benarkan dan terpaksa mohon bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
“Banyak benda yang memberi kesan bukan sahaja kepada saya malah penduduk seluruh dunia bila wabak ini melanda sebab itu saya tukar nama kedai supaya sejarah ini terus diingati sampai bila-bila,” katanya.
Mengenai menu yang ditawarkan kepada pelanggan, Hasanah berkata selepas menukar nama kedai, dia turut memperkenalkan dua menu baharu iaitu nasi goreng bahlul dan mi goreng bahlul.
Walaupun kedua-dua nama menu itu nampak pelik, katanya mereka yang rajin membaca akan tahu mengapa nama hidangan itu dipilih sedemikian rupa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!