Rusia terpalit dengan isu racun Navalny

Anggota-anggota medik Jerman mengangkat pengusung yang membawa tokoh pembangkang Rusia, Alexei Navalny dari sebuah pesawat sewa khas di Berlin pada 22 Ogos lalu. - AFP
Anggota-anggota medik Jerman mengangkat pengusung yang membawa tokoh pembangkang Rusia, Alexei Navalny dari sebuah pesawat sewa khas di Berlin pada 22 Ogos lalu. - AFP
A
A
A

KEJADIAN seorang pemimpin pembangkang Rusia, Alexei Navalny yang diserang sakit secara tiba-tiba dan didakwa diracun pada minggu lalu mencetuskan kegemparan dalam kalangan negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Justeru, AS mengambil pendirian untuk menyokong Kesatuan Eropah (EU) yang mendesak supaya satu siasatan komprehensif dan telus dilakukan bagi mengetahui siapa yang meracuni Navalny.

Desakan siasatan itu dilakukan selepas Hospital Charite di Berlin, Jerman menyatakan terdapat tanda-tanda bahawa dia telah diracun sekali gus bertentangan dengan kenyataan di negara asalnya.

Pemimpin pembangkang Rusia, Alexei Navalny merupakan seorang peguam dan dikenali sebagai penentang rasuah di negaranya. - Foto AFP
Pemimpin pembangkang Rusia, Alexei Navalny merupakan seorang peguam dan dikenali sebagai penentang rasuah di negaranya. - Foto AFP

Menurut AFP, pada Isnin lalu, ujian yang dilakukan oleh pihak hospital itu ke atas pengkritik Presiden Rusia, Vladimir Putin itu mendapati dia diracun disebabkan oleh sejenis bahan daripada kumpulan perencat kolinesterase.

ARTIKEL BERKAITAN: Alexei Navalny sah diracun

"Kesan akibat keracunan itu masih tidak lagi diketahui," kata hospital tersebut dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, kerajaan Rusia menafikan dakwaan bahawa tokoh pembangkang itu telah diracun kerana tiada tanda-tanda ia tidak ditemui dalam badannya semasa di dirawat di sebuah hospital di bandar Omsk pada Khamis lalu.

Menurut portal berita CGTN, Navalny, 44, menaiki sebuah pesawat dari bandar di Siberia ke Moscow apabila dia dikatakan menjerit kesakitan sebelum tidak sedarkan diri.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha akhbar pemimpin pembangkang itu, Kira Yarmysh menceritakan detik-detik pengkritik lantang itu menghidap sakit dengan tiba-tiba iaitu kira-kira 30 minit selepas pesawat dinaikinya berlepas dari bandar Tomsk, Siberia yang dalam penerbangan ke Moscow.

Menurut Yarmsyh kepada akhbar Independent, Navalny minum air teh di sebuah kafe lapangan terbang sebelum dia menaiki pesawat dan mula jatuh sakit ketika berada dalam kapal terbang sebelum badannya mula berpeluh.

"Saya bertanya kepadanya sama ada mahukan (segelas) air untuk membantunya dan dia berkata tidak mahu. Dia kemudian pergi ke tandas dan tidak sedarkan diri," katanya kepada akhbar tersebut.

Juruterbang kapal terbang itu kemudian membuat pendaratan cemas di bandar Omsk sebelum dia dihantar ke sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan perubatan yang mana Navalny menghabiskan masa selama dua hari menggunakan mesin ventilator dan berada dalam keadaan koma dengan keadaannya digambarkan oleh doktor-doktor sebagai kritikal.

Beberapa anggota perkhidmatan kecemasan Jerman berjalan dekat sebuah ambulans yang menghantar tokoh pembangkang Rusia, Alexei Navalny di Hospital Charite di Berlin pada 22 Ogos lalu. - Foto AFP
Beberapa anggota perkhidmatan kecemasan Jerman berjalan dekat sebuah ambulans yang menghantar tokoh pembangkang Rusia, Alexei Navalny di Hospital Charite di Berlin pada 22 Ogos lalu. - Foto AFP

Bagaimanapun, apa yang menghairankan ialah pihak kementerian kesihatan wilayah Omsk memberitahu pada Sabtu lalu bahawa kafein dan alkohol ditemui dalam air kencing Navalny tetapi tiada racun sintetik dikesan berada di dalam badannya.

Hanya selepas pemimpin antirasuah yang lantang itu diterbangkan ke Hospital Charite di Berlin pada Sabtu lalu dengan menggunakan sebuah pesawat disewa khas oleh sebuah pertubuhan kerajaan (NGO) Jerman iaitu Cinema for Peace dan dibiayai melalui sumbangan peribadi barulah dia dikesan telah diracun.

Justeru, seorang pakar kementerian kesihatan Rusia, Igor Molchanov membuat dakwaan bahawa pihak Jerman telah meracun tokoh pembangkang itu ketika dia berada dalam penerbangan untuk menuju ke hospital tersebut di Berlin.

Tuduh-menuduh pihak yang mana meracun Navalny itu berlaku antara Jerman dengan Rusia yang sebelum ini mempunyai sejarah lampau menggunakan racun bagi menghapuskan para penentang dan pengritik pemimpin Moscow.

Kejadian itu juga mewujudkan kebimbangan tentang isu keselamatan terhadap warga Rusia yang mendapat perlidungan di Jerman.

Kebimbangan itu wujud selepas Jerman dilaporkan mendakwa Rusia membunuh seorang pengkritik Moscow di sebuah taman di Berlin pada musim panas lalu.

Pada Julai lalu pula, Austria menangkap dua warga Rusia kerana didakwa melakukan pembunuhan politik di Vienna manakala United Kingdom pula dilaporkan menuduh Moscow meracun seorang bekas perisiknya di Britain pada tahun 2018.

Namun, portal berita EUobsever berkata, secara faktanya, Rusia yang selalu dikaitkan terlibat dalam percubaan membunuh adalah disebabkan pihak perisikan negara itu yang tidak melakukan tugas dengan cemerlang.

Beberapa pihak lain bagaimanapun berpendapat, ia merupakan taktik yang sengaja dilakukan untuk menakut-nakutkan musuh Moscow, kerajaan Barat dan yang lebih meluas ialah penduduk awam.

Sebelum ini, Kesatuan Soviet yang runtuh pada tahun 1991 dan kini dikenali sebagai Rusia memang dikenali mempunyai sejarah menghapuskan para penentang dan musuh-musuh negara tersebut melalui racun.

Dakwaan penggunaan racun untuk membunuh musuh-musuh itu pernah didedahkan oleh Pavel Sudoplatov yang merupakan bekas ketua perisikan negara tersebut pada zaman pemimpin Joseph Stalin.

Menurut akhbar Guardian, dia pernah berkata bahawa agensi perisikan Jawatankuasa Keselamatan Negara atau lebih dikenali sebagai KGB pernah menyatakan bahawa racun merupakan kaedah terbaik untuk menghapuskan individu yang tidak dikehendaki.

Percubaan untuk membunuh Navalny itu juga kebetulan berlaku pada hari protes secara besar-besaran kumpulan penunjuk perasaan prodemokrasi di negara jiran Rusia, Belarus sekali gus wujud spekulasi bahawa dia menjadi sasaran untuk menghalang aktiviti sedemikian daripada berlaku di tanah airnya.

Dia yang merupakan seorang peguam merupakan pengkritik berprofil tinggi Putin dan golongan elit politik Moscow.

Nalvany satu-satunya ahli politik yang mampu memperoleh sokongan ramai pengikut di negaranya.

Siasatannya terhadap rasuah pada peringkat tinggi kerajaan Rusia telah menyebabkan berjuta-juta orang mengikuti perkembangan kes tersebut.

Justeru, dia dipercayai mempunyai ramai musuh di dalam rejim pentadbiran Rusia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!