Ada hikmah bagi anak pakai baju ‘boria’
SEMALAM semasa Merak Jalanan berjalan-jalan di sebuah pusat membeli-belah terkemuka di Damansara, Kuala Lumpur, Merak Jalanan ternampak sepasang suami isteri berlari sambil tercungap-cungap.
Wajah si suami kelihatan merah padam, di dahinya merecik peluh sambil mendukung seorang kanak-kanak lelaki lebih kurang setahun.
Si isteri pula tidak berhenti-henti menangis sambil menjijit beg tangan dan beg lampin. Di sisinya pula, kelihatan seorang remaja perempuan lebih kurang umur 15 tahun turut kelihatan murung.
Hati Merak Jalanan mula rasa tak keruan. Jadi Merak Jalanan mengikuti keluarga itu. Rupanya mereka menuju ke kaunter khidmat pelanggan. Sebaik tiba di kaunter tersebut, tiba-tiba terdengar raungan seorang anak kecil.
Patutlah pasangan suami isteri itu kelihatan cemas sangat, rupanya anak kecil mereka dalam lingkungan lima tahun hilang namun dijumpai pihak keselamatan.
Alhamdulillah, mujur kanak-kanak itu berjaya dijumpai. Merak Jalanan dapat merasai panik ibu bapa itu. Anak kecil yang belum tahu apa-apa sangat mudah terdedah kepada bahaya.
Apabila menyaksikan insiden tersebut, teringat Merak Jalanan kepada seorang sepupu yang tinggal di Kepong. Namanya Ani. Ani mempunyai empat orang anak yang masih kecil.
Jika dia bawa anak-anaknya membeli-belah, dia selalu memakaikan anak-anaknya pakaian yang warnanya sama.
Pernah Merak Jalanan bertanya apa tujuan dia berbuat demikian.
Jawapannya mudah: “Saja aku pakaikan anak-anak baju ‘boria’ (warna sama). Dari jauh dah nampak ke mana mereka pergi.”
Mungkin sesetengah ibu bapa tidak minat memakaikan anak-anak mereka pakaian warna sama.
Tetapi jika ia boleh mengelakkan masalah anak hilang semasa membeli-belah, kenapa tidak buat saja seperti Ani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!