MAHA 2020 edisi hibrid

Ronald (kanan) diiringi Che Abdullah melawat ruang pameran sejurus merasmikan Majlis Pra Pelancaran MAHA 2020. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ronald (kanan) diiringi Che Abdullah melawat ruang pameran sejurus merasmikan Majlis Pra Pelancaran MAHA 2020. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SERDANG - Bertemakan ‘Pertanian Penjana Ekonomi Negara’, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2020 anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang akan berlangsung pada 26 hingga 29 November depan buat julung kalinya dibuat secara hibrid.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, edisi hibrid dilaksanakan bersesuaian dengan situasi pandemik koronavirus (Covid-19) di mana pameran dilakukan menerusi kombinasi fizikal dan maya (virtual).

“Pada MAHA 2020, kita tambah elemen pelaksanaan dalam talian iaitu pameran secara maya. Kombinasi fizikal dan maya inilah yang menjadikan konsep penganjuran MAHA 2020 secara hibrid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pra Pelancaran MAHA 2020 yang berlangsung serentak dengan sambutan Hari Kemerdekaan dan perasmian logo MAFI di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Zainal Azman Abu Seman.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, pameran maya MAHA 2020 adalah sebuah platform yang direka khusus bagi memenuhi keperluan perniagaan dalam industri pertanian dan makanan secara dalam talian.

“Kita menyedari bahawa pembudayaan normal baharu dalam komuniti bagi mencegah penularan Covid-19 telah menjadi push factor kepada penggunaan teknologi dalam banyak perkara termasuklah dalam bidang pertanian serta penganjuran MAHA ini sendiri.

“Konsep baharu penganjuran MAHA kali ini sudah semestinya akan menjadi game changer dalam penganjuran program meeting, incentives, conventions dan exhibitions (MICE),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jualan RM300 juta

Ronald berkata, penganjuran kali ini menyasarkan penyertaan kumpulan peserta seperti syarikat swasta dan badan korporat tempatan, kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) antarabangsa dan tempatan, institusi kewangan dan golongan belia.

“Lebih 500 ruang pameran dan jualan akan disediakan pada MAHA kali ini mengikut segmen. Ini termasuklah pameran oleh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, pameran oleh syarikat swasta dan badan korporat tempatan serta seminar dan konvensyen agromakanan.

Syarikat Farmfresh Milk Sdn Bhd turut menjadi rakan strategik MAHA 2020. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Syarikat Farmfresh Milk Sdn Bhd turut menjadi rakan strategik MAHA 2020. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

“Ia juga membabitkan pameran makanan popular Malaysia di Empayar Makanan dan tidak ketinggalan juga Farmer’s Market di mana 70 lot jualan akan disediakan untuk menjual hasil pertanian segar dari ladang pada harga yang berpatutan,” katanya.

Berikutan wabak Covid-19 dan setiap aktiviti terhad kepada prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara, beliau berkata, bilangan pengunjung fizikal akan dihadkan kepada 10,000 orang sehari dan hanya mereka yang berusia 18 tahun ke atas dibenarkan masuk.

“Bagi mereka yang ingin hadir pameran fizikal, dinasihatkan agar mendaftar terlebih dahulu di laman web yang akan dilancarkan hujung bulan hadapan. Sekiranya ingin walk-in, ia bergantung kepada kapasiti pada hari tersebut,” katanya.

Bagi penyertaan secara maya pula, beliau berkata, dianggarkan seramai 100,000 pengunjung akan menyertai pameran maya MAHA 2020 dalam tempoh empat hari tersebut.

“Berdasarkan kepada sasaran ini dan tempoh penganjurannya, kementerian menjangkakan MAHA 2020 mampu menghasilkan lebih RM300 juta potensi nilai jualan termasuk padanan perniagaan,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini penganjuran terakhir MAHA telah berjaya menarik seramai 3.3 juta pengunjung dan mencatatkan hasil jualan sebanyak RM215 juta.

Dalam pada itu, Ronald berkata, banyak perkara yang dapat dipelajari sejak penularan Covid-19 di seluruh dunia dan di Malaysia khususnya, lebih-lebih lagi apabila pertumbuhan ekonomi terjejas dan kebanyakan sektor mengalami pertumbuhan negatif sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagaimanapun, berdasarkan prestasi ekonomi negara untuk suku kedua tahun 2020, sektor pertanian masih mampu mencatatkan pertumbuhan positif.

“Ini menunjukkan dalam apa jua keadaan dan krisis yang melanda, pertanian adalah sektor yang sangat penting dan perlu terus digerakkan dalam memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi sekaligus menjamin sekuriti makanan negara,” katanya.

Pastikan bebas Covid-19

Sementara itu, pada sidang media selepas prapelancaran itu, Ronald berkata, kementeriannya akan memastikan penganjuran MAHA 2020 yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bebas Covid-19 dan tidak akan menjadi kluster baharu penularan pandemik itu.

“Kita juga mengharapkan pengunjung patuh kepada SOP yang ditetapkan,” katanya.

Ronald (tengah) bersama rakan strategik mengangkat plakad mempromosikan MAHA 2020 pada Majlis Pra Pelancaran MAHA 2020 di MAEPS Serdang semalam. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ronald (tengah) bersama rakan strategik mengangkat plakad mempromosikan MAHA 2020 pada Majlis Pra Pelancaran MAHA 2020 di MAEPS Serdang semalam. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Ditanya mengenai sasaran jualan potensi nilai jualan tinggi yang diletakkan kementeriannya walaupun jumlah pengunjung dihadkan, beliau menjelaskan, pendapatan itu termasuk yang dijana melalui maya daripada penyertaan pihak industri yang mempamerkan produk mereka secara dalam talian.

Katanya, walaupun pengunjung berkurang tetapi akses melalui maya itu akan membolehkan capaian lebih luas.

“Kita akui ini dilema yang kita hadapi sebab MAHA sebelum ini dari segi rekod berjaya menarik kehadiran berjuta pengunjung kerana ia merupakan pameran besar-besaran industri pertanian dan agromakanan yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia dan rakyat negara jiran.

“Tetapi kita terikat dengan SOP yang ditetapkan kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebab kita masih berhadapan dengan Covid-19,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!