PRK Slim: Jangan keluar mengundi saat akhir

Suasana meriah di sebuah kampung yang dipenuhi bendera dan poster ketika tinjauan sempena kempen PRK DUN Slim di sekitar Kampung Gunung Besout. - Foto Bernama
Suasana meriah di sebuah kampung yang dipenuhi bendera dan poster ketika tinjauan sempena kempen PRK DUN Slim di sekitar Kampung Gunung Besout. - Foto Bernama
A
A
A

TANJUNG MALIM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim tidak keluar mengundi di saat akhir Sabtu ini.

Setiausahanya, Ikmalrudin Ishak berkata, walaupun tempoh masa mengundi bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang, mereka diminta keluar mengundi mengikut masa keluar seperti dicadangkan pada Kad Pengundi.

Beliau berkata, cadangan masa itu bertujuan mengelakkan pengundi berkumpul untuk memastikan penjarakan fizikal di pusat mengundi.

"Semua pengundi dan pihak yang terlibat dalam PRK DUN Slim juga diingatkan sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan pencegahan Covid-19 pada hari mengundi nanti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ikmalrudin berkata, seramai 22,749 orang daripada 23,094 pengundi biasa layak mengundi manakala seramai 267 orang merupakan pengundi awal dan 78 orang lagi mengundi secara pos.

Jelasnya, bagi pengundi yang telah menerima Kad Pengundi atau yang telah mengetahui maklumat pengundian, mereka boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu lagi membuat semakan di barung semakan SPR.

Beliau berkata, bagi pengundi yang tidak menerima Kad Pengundi kerana berpindah atau belum mengetahui maklumat pengundian disaran membuat semakan lebih awal melalui portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my; aplikasi MySPR Semak; Hotline SPR di talian 03-8892 7018; atau SMS ke 15888 (taip SPRSEMAKNo. kad pengenalan).

"Semasa membuat semakan, pengundi disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat-maklumat berikut iaitu pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.

Artikel Berkaitan:

"Pengundi diingatkan membawa kad pengenalan dan Kad Pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran," katanya.

Katanya, Kad Pengundi dan catatan maklumat pengundian itu penting bagi memudahkan KP1 membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

Ikmalrudin juga menasihatkan pengundi supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.

PRK DUN Slim diadakan selepas kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu.

Pengundian awal ditetapkan pada 25 Ogos manakala hari mengundi pada 29 Ogos.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!