PRK Dun Semenyih: Calon Bersatu sah wakili PH
SHAH ALAM - Calon daripada parti Bersatu dikatakan sah akan mewakili PH bagi mempertahankan kerusi Dun Semenyih menjelang PRK Dun Semenyih pada 2 Mac nanti.
Ketua Penerangan Bersatu Selangor, Sallehudin Amirudin mengesahkan perkara itu apabila memberitahu bahawa kesemua nama calon yang disenarai pendek adalah calon daripada parti itu.
"Semua nama (yang disenarai pendek) adalah calon daripada Bersatu (termasuk calon wanita). Saya boleh katakan calon Bersatu akan terus mewakili PH menjelang PRK Dun Semenyih nanti.
"Dalam mesyuarat yang dipengerusikan menteri besar sendiri baru-baru ini, memang kita putuskan mana-mana kerusi daripada komponen yang kosong maka parti berkenaan harus mengisi tempat itu.
"Sebab itu persetujuan bersama secara konsensus yang kita capai secara bersama sejak sebelum PRU14 lagi. Contohnya seperti PRK Sungai Kandis di mana kerusi memang asalnya milik komponen PH iaitu PKR, jadi kita beri laluan kepada PKR sendiri untuk terus mempertahankan kerusi berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Terdahulu, Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata parti itu sudah menyenarai pendek lima calon parti itu termasuk seorang calon wanita.
“Kita sudah ada lima calon yang dilihat sesuai dan nama-nama itu sudah dihantar ke pusat.
“Kita sedang tunggu keputusan siapa calon yang layak,” katanya.
Bagaimanapun, terdapat desas desus yang mengatakan parti komponen lain turut berminat untuk meletakkan calon mereka bagi mewakili PH di kerusi itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!