Penyerang Christchurch dihukum penjara seumur hidup

Brenton Tarrant dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa parol. - Foto Reuters
Brenton Tarrant dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa parol. - Foto Reuters
A
A
A

CHRISTCHURCH - [DIKEMASKINI] Pengganas yang melakukan serangan ke atas dua buah masjid di New Zealand, Brenton Tarrant dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol hari ini selepas mengaku bersalah membunuh 51 penduduk Muslim pada tahun lalu.

Semasa menjatuhkan hukuman ke atasnya, Hakim Cameron Mander menyatakan perbuatannya sebagai zalim dan dan tidak berperikemanusiaan.

"Tanggungjawab mahkamah ini adalah untuk memberikan tindak balas dalam cara untuk menolak dengan tegas perbuatan jahat," katanya ketika membuat keputusan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah undang-undang negara tersebut.

Menurut akhbar The Sydney Morning Herald, Mander berkata, tidak ada tempoh masa penjara minimum dalam kes tersebut.

"Pembunuhan itu adalah ganas dan terlalu kejam. Perbuatan anda tidak berperikemanusiaan. Kamu tidak menunjukkan rasa belas kasihan, Kamu bukan hanya seorang pembunuh tetapi seorang pengganas.

"Kamu dengan sengaja membunuh seorang budak yang berumur tiga tahun ketika dia memaut pada kaki bapanya," kata hakim tersebut.

Sebelum itu, Mander bertanya kepada Tarrant sama ada dia mahu bercakap di dalam mahkamah sebelum hukuman dijatuhkan.

Bagaimanapun, dia menolak untuk berkata apa-apa sebaliknya mengucapkan ayat 'terima kasih.'

Artikel Berkaitan:

Tarrant, 29, seorang warga Australia mengaku salah terhadap 51 tuduhan pembunuhan, 40 percubaan membunuh dan satu dakwaan keganasan berhubung perbuatannya melakukan serangan di dua buah masjid di Christchurch pada 15 Mac tahun lalu. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!