Kerajaan mulakan rancangan pemerkasaan ekonomi selanjutnya

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sudah memulakan perancangan fasa selanjutnya bagi pemerkasaan ekonomi yang akan diperincikan dalam Belanjawan 2021.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz hari ini berkata, kerajaan juga yakin langkah-langkah yang dilaksanakan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) telah memberi impak positif terhadap usaha-usaha pemulihan.

Menurutnya, pasukan Kementerian Kewangan juga meneruskan siri Jelajah Belanjawan 2021 ke Johor pada 15 hingga 16 Ogos 2020 dan seterusnya Pahang pada 25 Ogos dalam usaha mendapatkan maklum balas mengenai inisiatif pakej pemulihan ekonomi Prihatin dan Penjana berkenaan.

“Pada masa sama, platform ini bertujuan mendapatkan pandangan dan syor bagi merangka Belanjawan 2021 menerusi beberapa sesi libat urus dengan wakil sektor seperti pendidikan, farmaseutikal, industri berasaskan agro serta usahawan wanita Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)," kata beliau dalam laporan terbaru Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana).

Selain itu, orang ramai dialu-alukan untuk memberi maklum balas bagi Belanjawan 2021 yang dijadual dibentangkan pada November ini.

Mereka boleh mengemukakan cadangan berkaitan di http://belanjawan2021.treasury.gov.my dan portal tersebut akan dibuka sehingga 15 Sept, 2020.

Bank Negara Malaysia telah membuat unjuran bahawa ekonomi negara akan berkembang -5.5 peratus hingga -3.5 peratus tahun ini dan dijangka mencatat pertumbuhan 5.5 peratus hingga 8 peratus pada 2021. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!