Senarai rundingan terus diumum atas dasar telus: Tengku Zafrul

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz -Foto Bernama
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini menegaskan bahawa tindakan mengumumkan senarai projek-projek perolehan kerajaan secara runding terus di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), dibuat atas dasar mendokong ketelusan.

Sehubungan itu, beliau berkata, isu berkenaan tidak wajar untuk dipolitikkan.

"Tiada salahnya melakukan rundingan terus bagi projek terbabit mengikut Seksyen 6 (1) Akta Tatacara Kewangan 1957 (Semakan 1972). Selain itu, terdapat dasar berkaitan yang membolehkan justifikasi bagi rundingan terus itu.

“Bagi saya, ini cuma fakta dan menggambarkan apa yang telah ditandatangani berdasarkan data (surat lantikan atau surat setuju terima (LOA) yang dimeterai) yang kita ada di Kementerian Kewangan (MoF)...ini tidak sepatutnya dijadikan satu isu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Dana Penjana Nasional di sini hari ini.

Semalam, Kementerian Kewangan mengeluarkan senarai kementerian dan jabatan yang mendapat kelulusan 101 projek kerajaan yang diperoleh secara runding terus (RT) bernilai RM6.61 bilion yang diluluskan ketika pentadbiran PH.

ARTIKEL BERKAITAN: Kementerian Kewangan dedah senarai 20 kementerian

Menurut Tengku Zafrul, sebagai mewakili rakyat, beliau hanya menjawab persoalan yang diajukan kepadanya di persidangan Dewan Rakyat itu.

Artikel Berkaitan:

"Bagi saya (senarai tersebut) adalah fakta dan kita tidak bercakap (menyentuh) mengenai siapa yang berunding mengenainya dan sama ada ia dibuat mengikut terma LOA, namun ia ditandatangani ketika pentadbiran PH," tegasnya.

Malah, kata beliau, isu seperti bila rundingan terbabit dimulakan adalah sesuatu yang boleh dijelaskan oleh sesiapa sahaja.

"Tetapi bagi saya itulah faktanya dan ini yang berlaku ketika pentadbiran PH," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!