Pembatalan kontrak diharap tidak hentikan projek ECRL

Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pembatalan kontrak bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan China Communication Costruction Company (CCCC) diharap tidak merencatkan perjalanan projek itu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, projek itu penting bagi memangkin pembangunan ekonomi wilayah Pantai Timur.

"Sebelum PRU14 lagi Pas berpandangan projek ECRL bagus untuk memangkin pembangunan wilayah timur.

"Namun, kita tidak dapat menerima kos projek yang terlalu tinggi jika dibanding dengan projek serupa yang dilaksanakan di negara lain yang jauh lebih murah," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pengumuman pembatalan kontrak itu dilihat wajar kerana kos yang akan ditanggung memberi kesan besar kepada ekonomi negara.

"Pembatalan setelah CCCC tidak dapat menurunkan kos dari RM81 billion kepada RM40 billion seperti diminta kerajaan dan kerajaan pula perlu menanggung kos faedah setengah billion ringgit setiap tahun adalah wajar.

"Saya kira kerajaan telah mempamerkan usaha untuk mengekalkan perbincangan dengan CCCC sehingga tiada lagi titik persetujuan dicapai," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan batal projek ECRL

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau berharap keputusan itu dapat membuka ruang kepada pelabur lain dalam melaksanakan projek itu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu dijelaskan oleh kerajaan susulan penamatan kontrak itu.

"Selain kadar faedah setengah billion setahun dari aturan dengan CCCC, kerajaan juga perlu telus dalam mendedahkan jumlah kos yang telah dibelanjakan setakat ini bagi projek ECRL.

"Kita juga mahu tahu jumlah pampasan yang perlu dibayar atas pembatalan kontrak dengan CCCC dan siapa penerima pampasan itu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!