Anjing diseret dengan motosikal
BEIJING - Seorang pengawal keselamatan ditahan dan diberi amaran oleh polis setelah melakukan kekejaman ke atas seekor anjing di tenggara wilayah Fujian di China.
Dikenali sebagai Wu, 48, telah melakukan kesalahan melanggar peraturan lalu lintas dengan mengheret seekor anjing menggunakan tali yang diikat di lampu belakang ketika menunggang motosikal untuk pulang ke rumah, lapor Daily Mail.
Setelah disoal siasat oleh polis, Wu memberitahu, anjing itu mahu dijadikan haiwan peliharaannya.
Dia mendakwa anjing liar itu dibawa pulang dan pada mulanya haiwan itu berlari di belakang motosikal bagaimanapun tidak perasan anjing tersebut diseret sepanjang jalan.
Terdahulu rakaman berdurasi dua minit yang tular di laman sosial mendapat kecaman warganet.
Rakaman itu memaparkan seorang penunggang mengheret seekor anjing dengan motosikalnya sehingga mengakibatkan haiwan itu mengalami kecederaan di bahagian perut dan kaki.
Orang ramai yang kebetulan berada di jalan tersebut menjerit, "Mengapa kamu mengheret anjing seperti ini? Hampir mati!" sebelum dia berhentikan motosikal.
Seorang penduduk terus membawa anjing itu menerima rawatan di klinik veterinar dan keadaan anjing itu kini dilaporkan stabil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!