Pas, UMNO, Bersatu akan serasi dalam Muafakat Nasional

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diyakini akan mencapai kesepakatan dan keserasian melalui kerjasama politik yang dibentuk dalam Muafakat Nasional.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan Muafakat Nasional memberi ruang penyertaan Bersatu dalam gagasan itu adalah perkembangan positif yang dilihat membawa perubahan yang lebih baik terhadap negara.

“Saya amat teruja dengan keputusan terbaharu ini. Pada saya ia (penyertaan Bersatu) amat dialu-alukan oleh semua pihak termasuk dalam kalangan rakyat. Ia juga merupakan khabar gembira yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang ingin melihat penyatuan parti Melayu dalam satu gagasan.

“Ada kajian mendapati terdapat peratusan yang tinggi dalam kalangan rakyat yang mengharapkan muafakat politik terbentuk atau direalisasikan antara tiga parti ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Husa Network Sdn Bhd dengan Bernama di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai penerimaan penyokong di peringkat akar umbi beliau berkata, ia memerlukan sedikit masa dan setiap kepimpinan parti politik di dalam Muafakat Nasional perlu memainkan peranan untuk memberi kefahaman kepada mereka.

“Sudah menjadi adat, setiap perkara baharu memerlukan orientasi kefahaman. Sama seperti anak-anak yang baharu memasuki alam persekolahan.

“Insya-ALLAH semuanya akan tenang akan boleh serasi. Saya rasa sesiapa pun dalam muafakat politik ini boleh membuat pengubahsuaian kefahaman dan cara bertindak dalam masyarakat kita.

“Jadi, peranan utama yang perlu dimainkan ialah peranan kepimpinan parti-parti politik di mana mereka perlu beri penjelasan dan mendidik rakyat serta penyokong masing-masing supaya menerima ini sebagai muafakat politik yang akan bawa negara kita ke arah lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, ditanya sekiranya terdapat ahli Parti Amanah Negara (Amanah) yang dahulunya pernah menyertai Pas dan ingin kembali menyertai parti itu, katanya, ia tertakluk kepada beberapa syarat.

“Pas amalkan demokrasi. Kita adalah sebuah parti yang berdaftar. Mana-mana pihak yang ingin menyertai Pas perlu mengikuti beberapa syarat serta ada beberapa perkara yang perlu dipersetujui,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung Bersama Muafakat Nasional merangkap Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan mengumumkan Muafakat Nasional bersetuju menerima penyertaan Bersatu bagi memantapkan penyatuan orang Melayu selaras dengan piagam Muafakat Nasional yang termaktub sebelum ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!