Siasat dengan adil kes polis tendang penunggang motosikal
SIBU - Duta Khas kepada Perdana Menteri ke China Datuk Seri Tiong King Sing hari ini menggesa polis agar bersikap adil dalam siasatan dalaman mereka terhadap kes anggota polis yang didakwa menendang penunggang motosikal hingga jatuh di Sibu, Selasa lepas.
Beliau berkata, niat asal anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu itu adalah untuk mengawal trafik dan menjaga keselamatan orang awam, bagaimanapun beliau percaya sekiranya anggota polis itu memilih untuk mengejar suspek yang melarikan diri itu, mungkin akan mengganggu aliran lalu lintas, membahayakan pengguna jalan raya lain, malah boleh menyebabkan kemalangan.
“Jika penunggang motosikal itu terlibat dalam jenayah atau tiba-tiba mengeluarkan senjata untuk mengancam polis, apa yang akan kita katakan? Kita perlu menghargai keberanian anggota dalam menegakkan undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, masyarakat harus berterima kasih kepada agensi penguatkuasaan undang-undang, khususnya polis trafik kerana bertindak dengan segera dan berani untuk mencegah suspek daripada melarikan diri daripada operasi dan terus melanggar undang-undang.
“Bagaimanapun, usaha ini biasanya tidak dihiraukan dengan adanya komen-komen dalam talian. Komen-komen ini juga akan menjejaskan semangat pegawai penguat kuasa undang-undang yang menganggap mereka hanya menjalankan tugas untuk menjaga keselamatan awam,” katanya.
King Sing yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata, beliau tidak memihak kepada anggota polis trafik terbabit atau penunggang motosikal yang melakukan kesalahan itu, tetapi menyeru kepada semua pihak untuk melihat perkara itu dengan rasional.
“Lagipun, kita mesti bekerjasama untuk menjaga keadilan sosial dengan wajar. Kita perlu ingat sekiranya kejadian ini berlaku di negara lain, kaedah penguatkuasaan undang-undang yang digunakan oleh polis di sana mungkin lebih keras atau keterlaluan,” katanya.
Dalam satu klip video dirakam orang awam yang tular Selasa lepas, anggota polis trafik tersebut yang sedang menjalankan Op Motosikal di Jalan Temple kira-kira pukul 12.15 tengah hari di sini, dilihat menendang seorang penunggang motosikal hingga jatuh kerana membuat pusingan U secara tiba-tiba.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail dilaporkan berkata bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap anggota polis trafik berkenaan sekiranya didapati bersalah.
Aidi berkata, siasatan mendapati penunggang motosikal itu yang menunggang tanpa lesen dan memiliki cukai jalan tamat tempoh, telah disaman kerana menunggang berlawan arus dan mengubah suai paip ekzos motosikalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!