80 tahun tak potong rambut
HO CHI MINH - Seorang lelaki berusia 92 tahun mempunyai rambut sepanjang lima meter selepas tidak memotongnya selama 80 tahun.
Nguyen Van Chien, dari wilayah Delta Mekong selatan, Vietnam mempunyai kepercayaan tersendiri apabila mengakui akan panjang usia sekiranya tidak memotong rambut, lapor Daily Mail.
"Saya percaya jika saya memotong rambut saya, saya akan mati. Saya tidak berani mengubah apa-apa, bahkan tidak menyikatnya.
"Saya hanya memeliharanya, menutupnya dengan selendang agar tetap kering dan bersih serta kelihatan cantik," kata Chien ketika ditemu bual di kampungnya.
Chien memberitahu kali terakhir memotong rambut ketika di bangku sekolah dan selepas itu menyimpan rambutnya sehingga kini.
Dia turut mengingati rambutnya berwarna hitam, tebal dan kuat namun kini bertukar kepada warna putih dan semakin halus.
Dalam pada itu, Chien menjaga rapi rambutnya dengan melindungi di dalam kain seperti topi di atas kepalanya.
Anak kelima Chien, Luom, 62, turut mempercayai rambut mempunyai hubung kait dengan kematian.
"Saya pernah melihat seorang lelaki meninggal dunia setelah berusaha menyambung kembali rambut dengan tali," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!