Khairuddin hadir ke Bukit Aman malam ini
KUALA LUMPUR - Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali hadir ke Bukit Aman hari ini untuk memberi keterangan susulan kegagalan mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu hadir pada jam 8 malam ini.
Pada awalnya Khairuddin dilaporkan dipanggil ke Bukit Aman, petang semalam sebelum lokasi ditukar ke Parlimen.
Bagaimanapun, proses berkenaan itu kemudian ditangguhkan pula ke hari ini.
Terdahulu, media melaporkan polis mahu merakam keterangan Mohd Khairuddin bagi membantu siasatan berhubung kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kuarantin wajib di rumah selepas pulang dari luar negara.
Ahad lalu, media melaporkan polis sudah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Khairuddin kerana gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah susulan 27 laporan polis yang diterima di seluruh negara berhubung perkara itu.
Kementerian Kesihatan dilaporkan menyerahkan kertas siasatan dalaman pihaknya berhubung isu pelanggaran kuarantin oleh Mohd Khairuddin kepada polis untuk tindakan lanjut.
Mohd Khairuddin turut dikompaun oleh kementerian sebanyak RM1,000 atas kesalahan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!