WUIF jadi pusat rujukan ilmu al-Quran
SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bakal memiliki pusat perkembangan ilmu al-Quran atau dikenali World Quranic Centre of Excellence bagi menyebarkan ilmu al-Quran ke seluruh dunia.
Pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, pihaknya kini dalam proses mereka bentuk bangunan selain menunggu kelulusan pihak berkaitan.
"World Quranic Centre of Excellence bakal dibina awal tahun depan di Seksyen 14, Bangi dengan keluasan kira-kira 0.6 hektar.
"Kita anggarkan kerja-kerja pembinaannya mengambil masa 18 bulan hingga dua tahun," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bingkisan Wakaf Al-Quran Buat Ummah My #Qurantime di Kumpulan Karangkraf di sini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff dan Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail.
Hussamuddin berkata, pusat ilmu berasaskan wakaf yang menghimpunkan terbitan mengenai al-Quran itu bakal menjadi rujukan umat Islam dan juga bukan Islam seantero dunia.
"Kita mahu mewujudkan satu pusat ilmu al-Quran sebagai satu tempat bagaimana ilmu al-Quran itu dapat dikongsi dengan khalayak masyarakat dalam bentuk yang lebih berkesan dan bermakna termasuk terbitan digital yang akan membuat kupasan-kupasan ilmu al-Quran dalam pelbagai bentuk dan aspek.
"Ia juga bagi memudahkan umat Islam dan bukan Islam di seluruh dunia memahami isi kandungan kitab suci itu dalam pelbagai bahasa yang cukup mudah.
"Selain itu ia turut dijadikan pusat penyelidikan untuk menghasilkan bahan-bahan dakwah serta kempen untuk berinteraksi dengan al-Quran," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi TV AlHijrah berkata, ini adalah langkah oleh pihaknya untuk memperluaskan lagi misi MengQurankan Bangsa Mengikhlaskan Ummah dalam mendidik masyarakat cintakan al-Quran.
"Kita berharap nilai yang terkandung di dalam al-Quran akan menjadi sistem operasi dan corak pemikiran untuk umat Islam benar-benar mengamalkan ajaran Islam sebagai panduan hidup.
"Gerakan kami membangunkan satu ekosistem semua umat Islam yang baca al-Quran, faham dan seterusnya amal," katanya.
Ditanya mengenai program Wakaf Al-Quran Untuk Ummah (WAU), Hussamuddin berkata, projek berkenaan kini memasuki fasa ketiga dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pewakaf termasuk dari Singapura, Brunei, Indonesia dan Australia.
"Bagi fasa pertama dan kedua, sebanyak 114,795 naskhah al-Quran sudah diagihkan kepada petugas barisan hadapan di lokasi terpilih di seluruh negara.
"Sehingga hari ini, WUIF menerima sumbangan sebanyak 6,254 set wakaf al-Quran untuk fasa ketiga dan pengagihannya bermula awal Ogos lalu.
"Melalui projek ini, kita mahu sudut bacaan al-Quran diwujudkan oleh penerima wakaf di lokasi masing-masing bagi memudahkan orang ramai berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal," katanya.
Sementara itu, Marhaini berkata, WAU bukannya sekadar wakaf, sebaliknya merupakan agenda terbesar menuju tahun 1500H bagi menukar fikiran dan ekosistem untuk kembali kepada al-Quran di dalam menguruskan keluarga, organisasi, komuniti dan negara.
"Kita mahu melahirkan lebih ramai rakyat yang mempunyai jiwa pengasih dan pemaaf, berdisiplin, berinovasi, berintegriti tinggi dan cakna sesama kerana mereka tahu serta sedar tugas mereka sebagai hamba dan khalifah ALLAH SWT di muka bumi.
"Orang Islam yang amalkan al-Quran, dengan sendirinya karakter akan berubah, nilai-nilai berubah dan akan beri kesan kepada hubungan dengan manusia, bila jadi ketua keluarga dia akan jadi yang terbaik, bila jadi ayah jadi ayah yang lebih baik dan lebih bertanggungjawab," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!