AS gagal melobi negara Arab
WASHINGTON - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo kembali semula ke Washington hari ini selepas selesai lawatan selama lima hari di Asia Barat yang mempunyai muslihat tersendiri untuk melobi negara Arab mengikut jejak langkah Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menormalkan hubungan dengan Israel.
Bagaimanapun, Pompeo pulang dengan kecewa apabila rancangannya gagal untuk meraih komitmen Bahrain, Oman dan Sudan selepas perjanjian damai kontroversi antara UAE-AS diumumkan pada 13 Ogos lalu.
Sebelum ini, pegawai di AS dan Israel dengan yakin menyatakan Manama, Muscat dan Khartoum bakal menjadi negara seterusnya menjalin hubungan diplomatik dengan Tel Aviv.
Ternyata, harapan hanya tinggal harapan.
Oman News Agency melaporkan aspek kerjasama dua hala antara Muscat dan Washington dikaji semula dalam kerangka hubungan erat yang mengikat kedua-dua negara.
Namun, ia tidak merujuk kepada hubungan dengan Israel yang merupakan sekutu kuat AS.
Difahamkan, Pompeo merupakan pegawai peringkat tertinggi pertama Barat yang bertemu dengan pemerintah Oman, Sultan Haitham Tariq Al-Said yang menggantikan Sultan Qaboos yang meninggal dunia pada Januari lalu dan memerintah negara itu selama kira-kira lima dekad.
Walaupun Muscat telah sudah sekian lama berdialog dengan Israel dan memberi reaksi positif terhadap pengumuman perjanjian damai digelar Perjanjian Abraham tersebut, ia tetap menzahirkan sokongan terhadap Palestin.
Kerajaan peralihan Sudan juga memusnahkan rancangan Pompeo apabila ia menegaskan tidak mempunyai mandat untuk mengambil langkah menjalinkan hubungan dengan rejim Tel Aviv.
Semalam, Bahrain juga senada dengan sekutunya, Arab Saudi bahawa sebarang perjanjian dengan Israel tidak akan dimeterai tanpa penubuhan negara Palestin yang merdeka.
Pendirian itu secara tidak langsung menolak desakan AS supaya negara Arab menormalkan hubungan dengan Tel Aviv.
Pemerintahnya, Raja Hamad Isa Al-Khalifa memberitahu Pompeo bahawa Manama kekal komited kepada Inisiatif Damai Arab yang menuntut Israel menghentikan pendudukan ke atas wilayah Palestin yang dicerobohi sejak 1967 sebagai pertukaran untuk perdamaian dan menormalkan hubungan sepenuhnya.
"Raja menegaskan tentang kepentingan memperhebatkan usaha bagi menamatkan konflik Israel-Palestin berdasarkan penyelesaian dua negara untuk penubuhan negara Palestin dan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya," lapor Bahrain News Agency (BNA).
Manama yang menjalin hubungan dengan Israel sejak 1990-an adalah negara Teluk pertama yang menyokong langkah UAE dan turut disebut sebagai negara yang akan mengikut jejak langkah Abu Dhabi, namun ia dikatakan tidak akan berbuat sedemikian tanpa mendapat lampu hijau Riyadh.
"Usaha AS dan Israel selama beberapa hari yang menjangkakan negara Arab lain akan terpengaruh dengan pujukan mereka melalui lawatan Pompeo, namun tidak berjaya dilihat seperti situasi antiklimaks," kata Hugh Lovatt dari Majlis Eropah mengenai Hubungan Luar.
Ketika tiba di Tel Aviv yang menjadi destinasi pertama beliau di Asia Barat, Pompeo turut membuat video simbolik di Baitulmaqdis untuk Konvensyen Kebangsaan Republikan yang sedang berlangsung kononnya untuk menzahirkan sokongan Presiden Donald Trump terhadap Israel.
Ia juga sebahagian daripada rancangan untuk meningkatkan semula populariti Trump menjelang kempen Pilihan Raya Presiden AS 2020 pada November depan.
Perjanjian damai UAE-Israel telah menerima kecaman teruk beberapa negara Arab dan kepimpinan Palestin menyifatkan tindakan Abu Dhabi itu sebagai perbuatan 'tikam belakang'.
Bagi Arab Saudi, Perjanjian Abraham itu bukan sahaja satu bentuk pengkhianatan kepada tuntutan Palestin malah mencalarkan imej mereka sebagai pemimpin dunia Islam.
F-35 jadi isu
Tidak sampai sebulan perjanjian damai itu dicapai, muncul pula krisis baharu apabila UAE dilaporkan telah membatalkan pertemuan tiga pihak bersama Tel Aviv dan Washington berhubung urusan jual beli jet pejuang F-35 milik AS yang masih belum selesai.
Keputusan pembatalan mesyuarat itu dibuat pada awal minggu lalu sebagai tanda protes terhadap tindakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang membantah penjualan jet F-35 kepada Abu Dhabi.
Pada 18 Ogos lalu, Netanyahu memperbaharui tentangan beliau terhadap sebarang urusan jual beli senjata milik AS kepada negara di Asia Barat termasuk negara Arab yang menjalin hubungan damai dengan Tel Aviv.
Bagaimanapun, Menteri Hal Ehwal Luar UAE, Anwar Gargash berkata, permintaan mereka untuk membeli jet pejuang F-35 tersebut adalah 'sah' dan mereka tetap akan mendapatkannya.
Pompeo dalam satu kenyataan yang kononnya cuba untuk meredakan perkara itu memaklumkan AS mempunyai syarat undang-undang berkaitan ketenteraan kualitatif bersama Israel dan mereka akan terus menghormatinya.
"Tetapi, kami juga mempunyai hubungan keselamatan selama lebih 20 tahun bersama Abu Dhabi untuk menyediakan bantuan teknikal dan ketenteraan kepada mereka.
"Kami akan terus mengkaji proses itu untuk memastikan kami memberikan peralatan ketenteraan yang diperlukan oleh mereka," ujarnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!