Safawi boleh sehebat Ronaldo
“Kualiti dimiliki Safawi Rasid jika dimanfaatkan sepenuhnya dalam Liga Portugal nanti, tidak mustahil dia menjadi pemain hebat persis Cristiano Ronaldo dan Bruno Fernandes suatu hari nanti.”
Itu reaksi bekas pemain kebangsaan, Juzaili Samion mengenai peluang dimiliki penyerang muda Johor Darul Ta’zim (JDT) itu apabila dilamar kelab Liga Portugal, Portimonense SC.
Juzaili berkata, Portugal antara negara yang banyak mencungkil bakat pemain muda sehingga berjaya mencipta nama bersama kelab ternama di Eropah.
“Jadi melihat kepada peluang ditawarkan Portimonense SC yang jarang-jarang diperoleh pemain tempatan lain, Safawi seharusnya memanfaatkan sebaik mungkin peluang itu dalam mematangkan lagi gaya permainannya.
“Safawi masih muda masih banyak lagi ilmu bola sepak yang dia kena pelajari dan kena ingat peluang sebegini tidak selalu datang kerana bukan mudah untuk beraksi di benua Eropah.
“Safawi harus ambil peluang ini untuk mencipta namanya di peringkat antarabangsa, yang mana kita tahu Liga Portugal pun sudah melahirkan ramai-ramai nama-nama besar dalam dunia bola sepak.
“Bagi saya kualiti dimiliki Safawi bukan lagi untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) tetapi harus dikembangkan untuk cabaran liga lebih kompetitif, tidak hanya Asia tetapi juga di benua Eropah,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Terdahulu, Pengarah Sukan Kelab Bolasepak JDT, Martin Prest dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook Johor Southern Tigers (JST) memaklumkan, pihaknya sedia melepaskan Safawi untuk meneruskan karier di Eropah.
Juzaili yang kini berada dalam staf kejurulatihan Felda United juga menganggap peluang yang diperoleh pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu akan membuka lebih ruang kepada pemain tempatan lain beraksi di Eropah pada masa depan.
“Safawi sememangnya berada pada tahap layak untuk bersaing di luar negara khasnya di Eropah dengan reputasinya ketika ini selepas hasil usaha gigih serta kerja kerasnya.
“Bukan senang atau mudah untuk pemain-pemain dari negara ASEAN mendapat tempat di Eropah kerana hanya yang betul-betul berpotensi dan berbakat sahaja yang akan berjaya menarik minat kelab di Eropah.
“Saya harap Safawi dapat mengambil peluang ini dengan sebaik mungkin untuk mengembangkan lagi karier dan bakat yang dia ada. Buktikan anak Malaysia juga mampu mencipta nama di luar negara.
“Pada saya tiada yang mustahil selagi kita berusaha untuk memajukan diri kita sendiri,” ujar Juzaili yang pernah menyertai skuad remaja SV Wehen di Jerman sebelum bersama kelab Perancis, FCSR Haguenau dari tahun 2000 hingga 2001.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!