Festival 11 hari ketengah warisan tradisonal Terengganu
KUALA TERENGGANU - Festival Kebudayaan Terengganu yang berlangsung selama 11 hari bermula 27 Ogos 2020 di enam lokasi sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus menghimpunkan warisan kebudayaan dan kesenian tradisional negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, aktiviti yang dijalankan bagi menggantikan Festival Pantai itu antara lain bertujuan mengetengahkan warisan tradisional Terengganu untuk tatapan pengunjung dalam dan luar negeri.
"Terengganu Cultural Festival atau Festival Kebudayaan ini adalah cetusan idea baharu untuk menghimpunkan kesemua warisan seni budaya di enam lokasi sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
"Pemilihan lokasi di dua daerah ini dibuat memandangkan ia adalah lokasi tumpuan utama pengunjung serta pelancong luar yang berkunjung ke sini.
"Bagi peringkat daerah pula kita turut mengetengahkan seni warisan tradisional di daerah masing-masing menerusi Kampung Budaya," katanya sempena Majlis Pelancaran Festival Kebudayaan di Primula Beach Hotel, di sini, semalam.
Yang turut hadir, Ketua Penolong Pengarah (pengurusan acara dan promosi), Ahmad Fathil Abd Ghani.
Ariffin berkata, enam lokasi pameran tersebut mempunyai tema warisan tersendiri antaranya nelayan berkolek di Primula Beach Hotel, cerita duyong di Duyong Marina & Resort, wau sobek (Permai Hotel), alunan gamelan sari (warisan sari), flying gasing (Paya Bunga Square & Hotel) serta caritera langkasuka di Terradala.
"Misalnya di Primula Beach Hotel yang bertemakan perkampungan nelayan menyajikan pameran nelayan berkolek, pertunjukan kebudayaan, bicara kebudayaan serta seni kraf Terengganu.
"Begitu juga di tempat lain. Program yang dianjurkan oleh Jabatan Pelancongan Negeri ini memiliki tema tersendiri yang diketengahkan untuk tatapan pengunjung.
"Selain bertujuan memulihara dan memelihara khazanah seni budaya negeri, program itu juga dapat memartabatkan kebudayaan dan kesenian yang ada agar terus diwarisi generasi akan datang," katanya.
Dalam pada itu, katanya, Festival Kebudayaan Terengganu yang diadakan di beberapa lokasi terpilih itu tidak dijalankan secara 'mass market' memandangkan negara masih dilanda pandemik koronavirus (Covid-19).
"Lokasi-lokasi terbabit mempraktikkan amalan operasi standard (SOP) yang ketat kepada pengunjung yang hadir.
"Sehubungan itu, pengunjung dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan sebagai usaha mengekang penularan Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!