KPM jangka terima 400,000 permohonan PKSK

Habibah ketika sesi taklimat mengenai Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) Tahun 2021 di Putrajaya semalam.
Habibah ketika sesi taklimat mengenai Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) Tahun 2021 di Putrajaya semalam.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dijangka menerima 400,000 permohonan pelajar bagi pentaksiran kemasukan sekolah khusus (PKSK) bagi tahun 2021.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata, jumlah itu berdasarkan permohonan tahun sebelumnya.

“Ia boleh jadi lebih daripada angka itu. Sebanyak 200,000 permohonan bagi Tingkatan Satu dan 200,000 bagi Tingkatan Empat,” katanya pada sesi taklimat media di sini semalam.

Menurutnya, permohonan yang dibuka pada 7 September depan menawarkan 18,364 tempat duduk di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) bagi Tingkatan Satu.

“Bagi Tingkatan Empat pula, 26,289 tempat ditawarkan di SBP, SMKA, Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD),” katanya.

Beliau berkata, format PKSK yang telah digunakan sejak dua tahun lalu telah ditambah baik di mana calon perlu menjawab soalan komponen intelek dan komponen insaniah dalam talian dalam masa 90 minit.

Di samping itu, katanya, format PKSK yang baharu juga turut memperkenalkan komponen iaitu artikulasi penulisan.

“Artikulasi penulisan yang diperkenalkan bertujuan untuk melihat idea, pendapat murid dengan hujah-hujah yang dikemukakan dalam karangan 100 patah perkataan bagi Tingkatan Satu dan 250 perkataan bagi Tingkatan Empat.

Artikel Berkaitan:

“Artikulasi penulisan tersebut akan diuji dalam Bahasa Melayu. Bagaimanapun, terdapat 10 item dalam komponen intelek yang akan menguji penguasaan dan kefahaman Bahasa Inggeris,” katanya.

Katanya, calon hanya perlu menduduki satu sesi PKSK sahaja mengikut tarikh, masa dan tempat yang ditempatkan.

“Murid boleh memohon bantuan guru untuk membuat permohonan sekiranya tidak mempunyai capaian internet yang baik,” katanya.

Kenal pasti karakter murid

Mengulas lanjut mengenai komponen insaniah yang terdiri Kecergasan Emosi (EQ), Kecerdasan Rohani (SQ) dan Kecerdasan Kemahiran Insaniah (Social Skills Quotient), beliau berkata, ia merupakan platform untuk mengenal pasti karakter murid.

“Murid perlu menjawab 30 item objektif bergred dengan wajaran skor 20 peratus,” katanya.

Menurutnya, komponen Kecerdasan Intelek pula mencakupi elemen Kecerdasan Intelektual (IQ), Pengetahuan Am dan Penyelesaian Masalah yang digunakan untuk mengukur tahap kognitif murid.

“Murid perlu menjawab sebanyak 70 item objektif aneka pilihan dengan wajaran skor 70 peratus,” katanya.

Tambahnya, PKSK akan membantu penilaian kemasukan murid secara lebih menyeluruh.

“Sebelum ini, pemilihan murid lebih cenderung ke arah akademik atau intelek kognitif sahaja, namun pada tahun ini, kita melihat secara lebih menyeluruh supaya mereka dapat menyesuaikan diri dan mengembangkan potensi ketika berada di sekolah khusus.

“PKSK juga satu mekanisme saringan pemilihan murid bagi memastikan mereka mempunyai ciri-ciri selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu mengenalpasti potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu.

“Dahulu permohonan secara berasingan tetapi kali ini secara single entry point. Mereka akan ambil pentaksiran dan selepas itu sama ada SBP, SMKA, KV dan sebagainya akan memilih murid berdasarkan pilihan yang telah dibuat oleh murid,” katanya.

Mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan kerajaan dalam memerangi Covid-19, beliau berkata, KPM sentiasa menitikberatkan hal tersebut.

“Sebelum memasuki pusat pentaksiran, murid akan disaring mengguna pengimbas suhu terlebih dahulu. Murid bergejala tidak dibenarkan masuk. Pihak kami akan aturkan semula tarikh PKSK kepada mereka yang terlibat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!