Kita masih belum lagi merdeka
BEBAS tapi tak bebas! Itulah reaksi majoriti responden yang kita temui bila diajukan soalan berkenaan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tiga bulan sebenarnya tidak lama tetapi kerana terpaksa duduk di rumah dengan aktiviti yang terhad, maka kita berasa seolah-olah. Merdeka tapi tak bebas.
Kita harus bersyukur kerana semasa PKP kita masih boleh bergerak bebas di rumah. Kita masih boleh makan dan minum. Kita boleh menonton TV, Youtube dan work-from-home.
Ketua keluarga pula boleh keluar rumah untuk membeli barang keperluan tetapi kita masih merasakan itu bukan erti ‘kemerdekaan’ yang sebenar.
Jadi apakah maksud kemerdekaan yang sebenar? Kebebasan untuk bermain, beriadah, berkumpul atau lepak dengan kawan-kawan sehinggalah ke aktiviti mengikut masa dan tempat yang kita suka?
Itu mungkin betul. Dulu kita ambil sambil lewa. Kata orang putih, we take it for granted. Bila sedikit sahaja kebebasan itu dinafikan oleh virus yang sangat halus sifatnya hingga tidak kelihatan dengan mata kasar, kita dah mengeluh.
Surau dan masjid jadi sunyi, jalan raya jadi sepi, pasar raya tidak ramai pengunjung, kedai makan kosong dan taman rekreasi tidak kelihatan orang berjoging atau bermain.
Ada sinar di hujung terowong bila Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diperkenalkan. Ibarat ‘mati hidup semula’.
Walaupun norma baharu dengan prosedur operasi standard (SOP) yang menyusahkan, tapi itu lebih baik berbanding hidup terkongkong dalam rumah semasa PKP.
Memakai pelitup muka, mencuci tangan dengan sabun atau pensanitasi serta berbaris menunggu giliran untuk memasuki sesebuah premis, mengambil suhu badan dan mendaftarkan kehadiran tidak lagi menjadi keluhan kerana kita telah melalui saat yang lebih getir.
Kini, ramai rakyat Malaysia telah pandai menyebut istilah baharu yang tak pernah terlintas di fikiran kita sebelum ini. Jarak sosial atau jarak fizikal, SOP, pandemik, kumulatif dan beberapa terminalogi lain menjadi lingo dalam perbualan harian.
Enam bulan telah berlalu. Kebetulan bulan ini kita akan merayakan Hari Kebangsaan atau Kemerdekaan Malaysia yang ke-63.
Fikir-fikir, kita merdeka kali kedua. Pertama, merdeka daripada penjajahan British pada tahun 1957 dan kini merdeka daripada PKP dan Covid-19.
Justeru, kita harus menghargai kemerdekaan ini. Malah kita harus menjaga seutuhnya supaya kemerdekaan itu dapat diwarisi oleh generasi akan datang.
Jiwa merdeka, minda merdeka dan semangat merdeka mestilah diterapkan dalam diri semua rakyat Malaysia secara berterusan supaya patriotisme orang kita sentiasa tinggi dan cinta terhadap negara sentiasa mendalam.
Tapi apakah erti sebenar jiwa dan minda merdeka? Bagaimana caranya memanifestasikan erti kemerdekaan itu?
Cinta dan hormat kepada lambang negara seperti lagu kebangsaan, Jata Negara dan Bendera Malaysia adalah sebahagian daripada tanda jiwa dan minda merdeka.
Memasang bendera di rumah, di pejabat, di kenderaan dan di taman perumahan adalah sebahagian pencernaan nikmat merdeka itu.
Apa lagi? Kita banyak melihat cara menzahirkan erti kemerdekaan dari sudut lambang dan simbol negara namun kita kurang mendalaminya dalam bentuk pengorbanan dan kesetiaan.
Penangan Covid-19
Covid-19 banyak mengajar kita. Covid-19 telah memberi erti baru terhadap kehidupan seharian, hidup beragama, hidup bermasyarakat dan bernegara.
Pertama, kita mesti pastikan kemerdekaan itu tidak dirampas semula oleh virus Covid-19. Kita tak mahu PKP kali kedua. Kita mesti patuh dengan semua SOP sama ada suka atau tidak, senang atau susah. Kepatuhan ini merupakan penterjemahan rasa cinta kepada negara lahir dari jiwa yang merdeka.
Kedua, Kita semua tahu hampir semua sektor ekonomi negara terjejas. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menguncup sebanyak 6.7 hingga 12 peratus dalam suku kedua tahun ini.
Indeks perdagangan borong dan runcit mencatatkan penurunan sehingga - 6.1 peratus bagi suku pertama tahun 2020.
Malah situasi ini semakin parah pada suku kedua tahun ini dengan pertumbuhan sektor ini terus mengalami penguncupan sehingga -23.4 peratus.
Penguncupan yang sama turut dirasakan oleh pengusaha pasar raya dan mall yang mengalami penurunan sehingga 41 peratus manakala pusat membeli belah mengalami penurunan sehingga 63 peratus. Jika ia berterusan, impaknya sangat menakutkan.
Banyak kedai akan tutup, kilang juga akan terjejas dan ramai pekerja akan hilang pekerjaan dan sumber pendapatan.
Justeru, membangunkan semula ekonomi negara yang terjejas teruk akibat Covid-19 dan PKP adalah pencernaan semangat merdeka rakyat Malaysia yang sejati.
Cara paling mudah ialah menghidupkan dan merancakkan semula sektor peruncitan agar pengguna tidak hanya membeli barang keperluan tetapi barang-barang lain.
Dengan itu wang akan berkitar. Kilang akan menambahkan bekalan, produk baharu akan dilahirkan dan dengan itu pekerja tidak akan hilang pekerjaan.
Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan dan Hal Elwal Pengguna (KPDNHEP) telah melancarkan Program Jualan Malaysia (PJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) bermula Julai sehingga Disember 2020 sebagai pemangkin dan enjin pemulihan ekonomi negara terutama di sektor peruncitan.
Jiwa yang merdeka, semangat yang patriotik harus menyambut dan mendukung kedua-dua kempen ini. #belanjauntukMalaysia, #barangbaikbarangkita dan #kitajagakita adalah slogan murni anak Malaysia yang merdeka.
Kita belum cukup merdeka jika kita masih pentingkan jenama berbanding kualiti. Kualiti produk Malaysia tak kurang hebatnya. Begitu juga dengan penampilan dan gayanya. Menepati semua cita rasa apalagi cita rasa kita sendiri.
Kita belum lagi merdeka kalau kita masih mementingkan jenama asing dan meminggirkan produk tempatan. Sedangkan banyak produk kita telah dieksport keluar negara.
Hanya jiwa yang tidak merdeka sahaja yang merasa inferior dan memperlekehkan produk kita sendiri. Sampai bila? Kita sebenarnya yang menyebabkan produk kita tidak mendapat perhatian dan tidak dapat bersaing dengan produk lain.
Kita masih lagi dijajah jika kita sanggup keluar negara untuk shopping atau membeli atas talian di market place asing dan rela aliran wang kita keluar negara dengan membeli barangan luar.
Jiwa yang benar-benar merdeka akan menyahut seruan kerajaan untuk keluar berbelanja di mana wang yang dibelanjakan itu akan berputar dalam negara untuk memperbanyakkan peluang pekerjaan, meningkatkan produksi dan kualiti produk kita. Natijahnya akan memulihkan ekonomi negara.
Jiwa yang benar-benar merdeka akan sentiasa mengutamakan Malaysia daripada kepentingan kelompok, kaum dan apa jua yang mengesampingkan negara.
Hanya jiwa dan orang yang benar-benar merdeka akan sentiasa menjaga keharmonian hidup berbilang kaum, agama dan budaya berdasarkan kontrak sosial seperti yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia yang telah disepakati bersama.
Minda yang merdeka tidak hanya mendengar dan mendendangkan lagu Saya Anak Malaysia, Tanggal 31 Ogos, Dirgahayu, Ayuh Kita Merdeka dan lain-lain lagu patriotik.
Terjemahkanlah jiwa merdeka dan rasa cinta itu di segenap hidup yang bertamadun dan beretika sehingga satu hari nanti Malaysia kembali menjadi contoh negara majmuk yang dihormati dunia. Amin.
DIRGAHAYU MALAYSIA
SELAMAT MENYAMBUT
HARI KEBANGSAAN KE-63
MALAYSIA PRIHATIN
#dirgahayuMalaysia
#Malaysiaprihatin
#belanjauntukMalaysia
#barangbaikbarangkita
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!