Sambutan Hari Kebangsaan tetap meriah dalam norma baharu
PUTRAJAYA - Walaupun pandemik koronavirus (Covid-19) masih belum reda namun ia bukan penghalang bagi Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), Kementerian Belia dan Sukan menganjurkan Seminar Pengukuhan Jati Diri dan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dengan norma baharu.
Majlis anjuran Bahagian Inovasi dan Jaminan Kualiti, i-LEAD kali ini, menggunakan kaedah bersemuka dan secara dalam talian melibatkan penyertaan lebih kurang 600 warga kerja i-LEAD di seluruh Malaysia.
Ketua Pengarah i-LEAD, Abdullah Hasan ketika berucap berkata, seminar itu bagi memperkasakan semangat kenegaraan dan patriotisme dalam diri setiap warga i-LEAD dan penghayatan kepada tema ‘Malaysia Prihatin’.
Katanya, ia memberikan satu nafas baharu kepada warganya dalam menyambut Hari Kebangsaan pada tahun ini walaupun dalam pendekatan norma baharu.
"Seluruh rakyat Malaysia terutama warga i-LEAD perlu bersama-sama memerangi wabak Covid-19 serta kecaknaan Kerajaan dengan melakukan pelbagai inisiatif khususnya berkaitan perkara-perkara kebajikan demi kelangsungan hidup rakyat.
"Semangat kenegaraan dan patriotisme juga perlu diterjemahkan dengan sebaik mungkin menerusi minda, hati dan tindakan oleh seluruh warga i-LEAD di seluruh Malaysia.
Pelbagai pengisian menarik dianjurkan, antaranya Bual Bicara bersama Pengerusi Katana Circle Malaysia, yang juga Penerima Anugerah Order of the Rising Sun dari Maharaja Jepun, Datuk Zulkifli Abdul Malek, mengenai ‘Bushido Spirit’ dalam Konsep Bernegara di Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi laman FB Live i-LEAD.
Program ini juga diserikan lagi dengan alunan lagu-lagu patriotik yang disampaikan dengan penuh kreativiti oleh pasukan koir i-LEAD bersama-sama kibaran Jalur Gemilang oleh warga i-LEAD dalam dua dimensi berbeza.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!