Sultan makan gulai lemak nangka, opor daging kami masak

Al Sultan Abdullah berkenan makan nangka masak lemak dan opor daging dimasak Wan Noorazlina dan suaminya Baharuddin di rumah mereka Perkampungan Sungai Isap Perdana, hari ini.
Al Sultan Abdullah berkenan makan nangka masak lemak dan opor daging dimasak Wan Noorazlina dan suaminya Baharuddin di rumah mereka Perkampungan Sungai Isap Perdana, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Mangsa kebakaran di Perkampungan Sungai Isap Perdana tidak menyangka masakan gulai lemak nangka dan opor daging kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjadi santapan baginda hari ini.

Menu istimewa tersebut dihidangkan selepas pernah berjanji kepada baginda yang penah mencemar duli melawat Wan Noorazlina Wan Hamid, 56, selepas rumahnya terbakar tahun lalu.

Wan Noorazlina berkata, Al-Sultan Abdullah berkenan turun padang melawatnya pada hari kedua selepas sejarah hitam tersebut berlaku dan baginda ternampak pokok nangka di rumahnya.

“Saya tanya adakah tuanku ingin saya masak lemak nangka dan baginda bergurau tanya saya pandai masak ke? Saya pun jawab saya pandai dan kebetulan seorang kawan saya terus kata kepada Tuanku yang saya pandai masak opor daging. Baginda pun kata masak lemak nangka dengan daging opor memang pasangan yang sesuai

“Bila dapat tahu tuanku nak datang kami berdebar sehingga saya tak ada selera sarapan sebab teruja nak masak masak lemak nangka dan opor daging seperti yang dijanjikan dulu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, dia dan suaminya, Baharuddin Sulaiman, 59, terharu dengan kesudian baginda melawat rumah dan rasa masakan mereka.

“Alhamdulillah, tuanku memuji masakan saya sehingga habis tuanku menikmati masakan saya dan saya sempat bekalkan kepada Tengku Ampuan Pahang.

“Masak lemak adalah resipi saya tapi daging opor hasil air tangan suami saya. Tuanku memang benar-benar seorang raja yang berjiwa rakyat,” katanya

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menceritakan kembali kejadian kebakaran yang berlaku 16 Januari tahun lalu, Wan Noorazlina berkata, kebakaran bermula dari rumah jirannya.

“Tiada orang ketika kejadian kerana saya dan suami berniaga di warung tidak jauh dari rumah. Tiga orang anak berusia 20 hingga 32 tahun juga tidak tinggal bersama kami.

“Walaupun kehilangan rumah dan harta benda, kami bersyukur kerana tiada nyawa yang terlibat dalam kebakaran itu. Semua jiran dari dua buah rumah yang turut terbakar juga selamat,” katanya

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah meluangkan masa kira-kira setengah jam bertemu pasangan terbabit mangsa terlibat dan memenuhi undangan makan tengah hari di rumah tersebut selepas baginda menunaikan solat Zohor di Surau Al-Falah Perkampungan Sungai Isap Perdana

Baginda seterusnya berkenan turut ke Majlis Perkahwinan Siti Norbayah Mohamad Hoe, 24 dan Mohammad Azrul Anuar, 22, yang juga pasangan bisu dan pekak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!