1 juta pelitup muka diagih kepada pelajar, guru
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan mengedarkan sebanyak sejuta pelitup muka boleh diguna dan dicuci semula secara percuma kepada pelajar dan guru di negeri ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, agihan akan dibuat secara berperingkat sepanjang bulan September ini.
Menurutnya, pelitup muka berlatar belakang bendera Negeri Selangor itu membawa tema #KitaSelangor.
“Pelitup muka ini diperakui oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan mematuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Agihan akan dilaksanakan melalui koordinasi Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor bersama-sama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta Jabatan Pendidikan Negeri Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan pelitup muka kepada pelajar dan guru Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Seksyen 19 di sini hari ini.
Simbolik penyerahan selaras dengan pengumuman awal Kerajaan Selangor sebelum ini yang memaklumkan akan mengagihkan pelitup muka secara percuma kepada pelajar dari keluarga yang berpendapatan rendah (B40).
Amirudin berkata, pihaknya berharap inisiatif itu dapat meringankan beban ibu bapa dalam berbelanja dalam masa yang sama tidak mengabaikan langkah-langkah pencegahan kendiri.
“Selangor adalah tanggungjawab kita bersama. Hanya semangat kekitaan ini yang mampu memastikan pandemik Covid-19 dapat kita gempur sehabis-habisnya di bumi Selangor tercinta ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!