KPDNHEP kaji bilangan stesen minyak
MELAKA TENGAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bakal menjalankan kajian mengenai bilangan stesen pam minyak di negara ini.
Ketua Setiausahanya, Datuk Muez Abd Aziz berkata, menerusi kajian itu akan lebih menjaga kebajikan dan kepentingan semua pihak termasuk ia dapat menguntungkan pengusaha-pengusaha stesen pam minyak yang sedia ada.
Menurut beliau, dengan adanya kajian itu dapat menggelakkan berlakunya kewujudan stesen pam minyak yang tidak terkawal hingga mewujudkan persaingan yang tidak sihat dalam kalangan pengusaha.
"Dengan kajian itu dapat melihat dan menilai keperluan sebenar stesen pam minyak di negara kita, dan akan tahu permintaan pengguna memandangkan setakat ini terdapat kira-kira 3,500 stesen minyak di Malaysia.
"Rakyat kita tidaklah seramai penduduk di negara China, yang mempunyai lebih 37,000 stesen minyak kerana rakyat mereka yang ramai serta permintaan tinggi," katanya.
Muez berkata demikian ketika berucap pada majlis Keselamatan Petroleum Peringkat negeri Melaka di Stesen Minyak Petronas, Jalan Tun Kudu, Bukit Katil, di sini, tadi.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Rostam Affendi, Pengarah Urusan Petronas Dagangan Berhad (PDB), Datuk Seri Syed Zainal Abidin dan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) negeri, Rabaayah Daud.
Sementara itu, Syed Zainal berkata, kadar kemalangan di stesen pam minyak menunjukkan penurunan namun belum mencapai tahap kosong peratus.
"Walaupun setiap stesen pam minyak itu mempunyai ciri-ciri keselamatan namun kesedaran perlu dilakukan lebih kerap kerana kecuaian boleh berlaku di mana sahaja dan bila-bila masa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!