'Kedudukan Azmin dalam MPT Bersatu ada'

Razali Idris - Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Razali Idris - Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Peluang untuk Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berada dalam barisan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang baharu dilihat amat cerah.

Ahli MPT Bersatu, Senator Datuk Razali Idris mengesahkan perkara tersebut, namun menegaskan tiada kekosongan jawatan Naib Presiden untuk Mohamed Azmin.

"Kedudukan Mohamed Azmin dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu ada, cuma untuk jawatan Naib Presiden tiada.

"Ini kerana jawatan Naib Presiden Bersatu hanya ada tiga menurut Perlembagaan Bersatu dan kini jawatan untuk ketiga-tiga Naib Presiden Bersatu bagi penggal 2019-2022 sudah dipilih iaitu Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Exco Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi lawatan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) ke Kumpulan Karangkraf hari ini.

Menurutnya, jawatan Naib Presiden Bersatu sudah lengkap dan isu jawatan tersebut juga tidak sepatutnya timbul untuk Mohamed Azmin kerana ia tiada dalam Perlembagaan parti.

"Yang penting sekarang, Mohamed Azmin sudah masuk Bersatu dan kita akan mencadangkan beliau untuk berada dalam MPT dan itu kita bersetuju.

"Kedudukan beliau dalam MPT ada saya tak nafikan, cuma kalau untuk jawatan Naib Presiden Bersatu memang tidak ada," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, Mohamed Azmin belum sampai tempoh atau haul tiga tahun berada dalam parti Bersatu dan belum layak bertanding untuk jawatan tersebut.

"Tetapi beliau layak untuk jawatan tersebut jika dilantik oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana presiden parti mempunyai hak eksklusif untuk melantik sama ada setiausaha, bendahari walaupun jika seseorang itu baharu hari ini masuk parti.

"Lantikan presiden belum ada dalam Bersatu tetapi parti-parti lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) memang ada dua naib presiden yang dilantik oleh Presiden tapi yang bertanding seramai tiga orang," katanya.

Dalam pada itu, Razali berkata, kemasukan kem Mohamed Azmin dilihat mampu memberi kekuatan kepada Bersatu kerana beliau bukan sahaja membawa suara tetapi juga Ahli Parlimen dan pengikut yang begitu ramai, ditambah pula dengan pengalamannya sebagai bekas Timbalan Presiden PKR.

"Saya tahu ada teguran sikit di bawah sana berkenaan kedudukan, tapi perlu difahami apabila kita bersama dalam satu kumpulan besar, kita akan beri Mohamed Azmin kedudukan yang ada nama dalam parti supaya pengikutnya tidak rasa seperti dianaktirikan.

"Tapi itu bukan perkara utama kerana yang lebih penting sekarang, keluarga Bersatu semakin besar dan kita ada semua peringkat pemimpin-pemimpin yang hebat, yang ada jenama termasuk yang kental dalam perjuangan.

"Bila dah masuk Bersatu, kenalah ikut asas perjuangan Bersatu kerana kita ada perlembagaan parti," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!